KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Persaingan bagi merebut jawatan Presiden Olahraga Malaysia (MA) dijangka sengit membabitkan penyandang dan bekas presiden, selain dua lagi calon yang turut mencabar kedudukan itu.
Penyandang jawatan, Datuk Seri Shahidan Kassim dijangka berdepan pertembungan empat penjuru pada pemilihan barisan kepimpinan MA bagi penggal 2025-2029 pada 15 Jun ini, dengan bekas presiden merangkap Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak Datuk Karim Ibrahim mengetuai cabaran.
Shahidan dan Karim (Presiden MA bagi penggal 2015-2019) akan dicabar Timbalan Presiden MA ketika ini, Datuk Mark William Ling Lee Meng serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
Sementara itu, saingan bagi jawatan Timbalan Presiden juga dijangka sengit apabila lima calon bakal bertanding termasuk Karim, Wan Hisham, Datuk R. Annamalai, Sallehuddin Safar dan Mohamat Hasan.
Turut dijangka sengit ialah pemilihan bagi empat jawatan Naib Presiden, termasuk satu slot yang diperuntukkan kepada wakil wanita.
Sebanyak sembilan calon akan merebut tiga jawatan Naib Presiden iaitu Annamalai, Datuk Mohamad Ismail, M. Iyaru, Mohamat, Josephine Kang, Rosli Abdullah, David William, John Ayaru dan N. Padmanathan.
Setakat ini, hanya nama Josephine Kang diumumkan sebagai calon untuk jawatan Naib Presiden Wanita ketika Shahidan mengumumkan senarai pencalonan bagi semua jawatan dalam satu sidang media di Hotel Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini hari ini.
Mana-mana individu yang dicalonkan boleh bertanding lebih daripada satu jawatan, namun pada hari pemilihan, calon hanya dibenarkan memilih satu jawatan untuk ditandingi.
Ahli gabungan MA yang terdiri daripada 13 persatuan akan diwakili tiga delegasi untuk membuang undi menjadikan jumlah 39 undi keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial