KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd menjalinkan perkongsian dengan RHB Banking Group (RHB) untuk melancarkan pinjaman/pembiayaan rumah dan renovasi kediaman serta hartanah kediaman hijau membabitkan portfolio hartanah IOI Properties.
Pinjaman dan pembiayaan ini akan ditawarkan melalui Pinjaman/Pembiayaan Renovasi serta HB Full Flexi Home RHB termasuk Program Pinjaman/Pembiayaan Hartanah Kediaman Hijau RHB.
Pemaju hartanah itu melalui satu kenyataan hari ini berkata perkongsian tersebut menggariskan dedikasi IOI Properties dan RHB untuk menyokong pemilikan rumah sambil menyelaraskan pengalaman berpindah masuk dan mempromosikan pendekatan pembangunan lestari di negara ini.
Ketua Jualan, Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan IOI Properties, Nicole Lee Chee Yiing berkata perkongsian ini akan membantu melancarkan perjalanan pemilikan rumah kepada pembeli.
"Melalui Pinjaman/Pembiayaan Renovasi dan RHB Full Flexi Home, pembeli rumah akan diberi akses bagi mendapatkan pakej pembiayaan sehingga 90 peratus ditambah 30 peratus margin pinjaman/pembiayaan untuk harta kediaman yang dipilih.
"Tambahan 30 peratus pinjaman/margin pembiayaan akan membantu pembeli rumah yang layak dalam menanggung kos pengubahsuaian melalui kadar renovasi/pembiayaan keseluruhan yang menarik," katanya.
Lee berkata pinjaman/pembiayaan renovasi ini akan diagihkan secara berperingkat kepada pembeli berdasarkan kepada kemajuan tahap pengubahsuaian.
"Kami berharap melalui penyelesaian kewangan dengan kerjasama RHB ini, kami akan dapat membantu mengurangkan beban pembiayaan kepada pembeli berhubung dengan hartanah yang masih kosong, antara cabaran utama di kalangan pembeli rumah."
Sementara itu, IOI Properties menjelaskan di bawah pinjaman/pembiayaan Hartanah Kediaman Hijau, pembeli rumah boleh memilih margin pinjaman/pembiayaan sehingga 95 peratus (termasuk pembiayaan kos masuk, dengan tambahan lima peratus untuk membiayai pengurangan ansuran gadai janji (MRTA)/liputan gadai janji bertempoh takaful (MRTT).
"Hartanah dengan Indeks Bangunan Hijau (GBI), GreenRE atau pensijilan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) layak di bawah kempen ini.
"Kerjasama ini juga adalah sejajar dengan IOI Sustain Roadmap 2030 kumpulan, khususnya tumpuan strategiknya dalam menangani perubahan iklim dengan mengurangkan jejak karbon ketika ia sentiasa membangunkan komuniti yang mampan," katanya.
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB, Jeffrey Ng Eow Oo berkata perkongsian dengan IOI Properties menyatukan penyelesaian kewangan yang disesuaikan dengan bank dan mengembangkan wawasan syarikat pemaju itu bagi memenuhi jangkaan yang semakin meningkat.
"Bersama-sama, kami berhasrat untuk menjadikan perjalanan pemilikan kediaman ini relevan sehingga masa depan dengan menjadikannya lebih mudah dan mampan.
"Sebagai bukti kepada komitmen kami, RHB telah memberikan lebih dari RM2 bilion dalam pembiayaan hijau sejak lima tahun lepas sehingga setakat Mac 2025," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial