WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahmad Zahid Bertemu Steve Reed Bincang Pengurusan Bencana, Perubahan Iklim

03/06/2025 09:49 AM

Daripada Syamsiah Sahat

LONDON, 3 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar United Kingdom (UK) Steve Reed pada Isnin, untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan UK.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah pengurusan bencana dan air bersih serta keperluan teknologi baharu dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap perubahan iklim dunia.

“Kita ketahui soal-soal begini ada hubung kait secara langsung dengan kehidupan manusia, beberapa pendekatan mesti dilakukan secara menyeluruh bagaimana pemanasan global dan masalah perubahan iklim mempengaruhi hidup manusia.

“Seperti kita tahu di sini (UK), pencemaran sungai telah menjadi sejarah, tetapi di negara kita masih lagi berlaku, kesedaran awam mengenainya mesti ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Malaysia di UK, di sini.

Turut hadir Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kira-kira 60 pelajar tajaan MARA dan 40 tetamu lain.

Dalam pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin turut menyentuh tentang kerjasama dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri halal global.

“Saya percaya pertemuan ini membuka ruang baharu dalam memacu kerjasama Malaysia–UK ke tahap yang lebih strategik, khususnya dalam membina masa depan inklusif, mampan dan berdaya tahan,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menekankan pentingnya menyemai semangat kekitaan secara berterusan dalam kalangan pelajar tajaan MARA di luar negara supaya mereka kembali dan menyumbang tenaga kepada tanah air.

Beliau berkata pelajar berkenaan memerlukan pendedahan bahawa walaupun purata gaji lebih tinggi di UK, mereka perlu menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Hal ini perlu supaya mereka akan dapat berikan sumbangan dan tidak pernah lupa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja ke UK selama empat hari berakhir esok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan