WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kor Diplomatik Puji Peranan Sultan Ibrahim Pupuk Diplomasi Serantau, Perpaduan Negara

02/06/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mendapat pujian komuniti diplomatik kerana telah meningkatkan kedudukan diplomatik Malaysia serta memupuk perpaduan negara.

Duta Besar Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ba Hamid memuji sokongan teguh Sultan Ibrahim terhadap kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, termasuk peranan Seri Paduka Baginda dalam memperkukuh suara Malaysia di pentas serantau.

Adel Mohamed turut mengiktiraf mesej konsisten Sultan Ibrahim mengenai keterangkuman dan keharmonian, khususnya seruan kepada rakyat Malaysia supaya mengamalkan perpaduan dalam kepelbagaian, seruan tepat pada masanya di tengah-tengah peningkatan polarisasi global.

"Di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Malaysia terus menikmati kestabilan politik. Kestabilan ini membolehkan kerajaan membuat rancangan jangka panjang dan merebut peluang baharu dalam ekonomi hijau dan digital bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan tahniah bagi pihak kor diplomatik pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini hari ini.

Berangkat ke istiadat itu ialah Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta menteri-menteri Kabinet.

Adel Mohamed juga menekankan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang berakhir baru-baru ini, dipengerusikan Anwar, yang menyerlahkan kepentingan kerjasama pelbagai hala di tengah-tengah ketidaktentuan global.

"Pemimpin dari ASEAN, serta Timor-Leste, GCC dan China turut berbesar hati menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari oleh Seri Paduka Baginda, yang memperlihatkan sokongan berterusan Sultan Ibrahim terhadap integrasi serantau," katanya.

Duta berkenaan turut menyampaikan ucapan selamat kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, mendoakan kesihatan dan kebahagian berpanjangan kepada Seri Paduka Baginda berdua.

Adel Mohamed berkata komuniti diplomatik di Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Seri Paduka Baginda, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Kor diplomatik turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti sumbangan berterusan mereka kepada kemajuan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan