WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKR Belum Terima Permohonan Rasmi Tengku Zarful Sertai Parti

31/05/2025 10:31 AM

KUALA LUMPIR, 31 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai parti itu, setakat ini.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh yang mengesahkan perkara berkenaan berkata semua permohonan keanggotaan PKR perlu dilakukan secara dalam talian.

“Setiap permohonan akan melalui proses biasa iaitu selepas permohonan dibuat secara dalam talian, ia akan diproses dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang termasuk daripada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata PKR mendoakan agar Tengku Zafrul yang akan menunaikan ibadah haji selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji yang mabrur.

Semalam Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerusi kenyataan di Facebook mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO serta menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan UMNO masih belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Zafrul yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan