WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Prestasi Harimau Malaya Beri Keyakinan Aksi Bertemu Vietnam - Hannah

31/05/2025 10:29 AM

SEREMBAN, 31 Mei (Bernama) --  Prestasi memberangsangkan skuad Harimau Malaya selepas berjaya mengikat Cape Verde 1-1 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Khamis disifatkan sebagai perkembangan positif buat pasukan negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keputusan itu pastinya memberikan keyakinan kepada skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam  pada Jun ini.

“Pasukan (Cape Verde) yang mereka lawan itu ranking lebih tinggi, jadi ini semestinya bagus untuk kita. Saya berharap setiap perlawanan itu akan memberikan keyakinan baharu kepada pasukan kita.

“Itu yang kita perlukan, termasuk bila mereka akan bertemu dengan Vietnam nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan ke-14 yang disertai hampir 500 peserta membabitkan 17 pasukan di sini malam tadi.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.

Malaysia akan menentang Cape Verde yang berada di kedudukan ke-72 dunia itu sekali lagi dalam perlawanan persahabatan yang bakal diadakan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Dua perlawanan persahabatan menentang Cape Verde itu sebagai persediaan Malaysia untuk berdepan Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun.  

Dalam pada itu, Hannah turut menyeru kepada semua penyokong untuk hadir memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya menentang Vietnam sekali gus membangkitkan semangat pemain untuk terus berjuang.

“Semangat mereka datang daripada jeritan rakyat yang datang ke stadium, 'cheer ultras' itu sangat penting untuk memberikan semangat kepada mereka untuk lawan. Jadi saya minta semua penuhi stadium nanti.

“Bila saya menonton Manchester United lawan ASEAN All-Stars baru-baru ini walaupun pasukan antarabangsa, tetapi berbeza kerana tak ada jeritan 'ultras', saya tahu jeritan dan sokongan atau lagu-lagu yang dinyanyikan oleh 'ultras' itu memainkan perbezaan yang besar dalam membantu Harimau Malaya,” katanya.

Beliau turut berharap skuad negara dapat memperbaiki kedudukan di bawah kepimpinan jurulatih baharu selain suntikan dana daripada kerajaan dan pihak korporat.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM165,000 bagi Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan ke-14 itu yang diadakan selama lima hari hingga 2 Jun ini.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program Cari Bakat KBS, wushu diberi perhatian khusus untuk diserap ke dalam pelan pembangunan jangka panjang serta diklasifikasikan semula sebagai aktiviti sukan dan bukan badan beruniform di sekolah selaras fokus pembangunan atlet muda.

“Ia sejajar dengan hasrat kementerian untuk menyediakan laluan yang tersusun kepada para atlet muda terutama dalam persediaan menghadapi Sukan Olimpik Remaja 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan