WILAYAH - SABAH > BERITA

Kerajaan Ambil Perhatian Permintaan Negeri Tentukan Keutamaan Projek RMK13 - PM Anwar

30/05/2025 12:18 PM

PENAMPANG, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil kira keperluan serta permintaan daripada negeri-negeri dalam menentukan keutamaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan bahawa keutamaan projek tidak ditentukan secara sendiri oleh kerajaan Persekutuan, sebaliknya diputuskan bersama dengan kerajaan negeri setelah permintaan mereka didengar dan diberikan perhatian oleh pimpinan Persekutuan.

Memberi contoh di Sabah, Anwar berkata dalam hampir setiap lawatan kerja beliau di negeri berkenaan, diadakan mesyuarat atau pertemuan antara pemimpin dengan pegawai kanan Persekutuan dan negeri untuk membincangkan secara terus permintaan daripada kerajaan negeri.

“(Projek) RMK13 bukan saya kata tidak berlaku, dahulunya ada permintaan disaring oleh kementerian-kementerian Persekutuan … sekarang tidak, permintaan itu (dibincangkan) secara langsung (dalam mesyuarat) yang dipengerusikan Perdana Menteri, ada Ketua Menteri, ada menteri-menteri negeri.

“Secara langsung kita dengar dan beri perhatian. Sebenarnya hal ini hanya berlaku kerana keseragaman, hubungan akrab dan baik kerana saling meyakini antara satu sama lain,” kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Majlis sambutan yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Hajiji dan Kerajaan Negeri Sabah atas keterbukaan untuk bekerjasama dengan pemimpin serta kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan serta mengangkat martabat Malaysia dan Sabah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa semangat bagi membina kekuatan Sabah perlu disemai melalui perpaduan yang kukuh antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dalam kerangka negara Persekutuan.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menghakis hubungan baik itu semata-mata untuk mendapatkan political mileage (manfaat politik), terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Dalam pergelutan menjelang pilihan raya ini … pimpinan yang pernah memimpin, yang bersama, kadang-kadang lupa semata-mata untuk menghangatkan suhu politik, membangkitkan isu-isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara, perkara ini tidak sihat,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri, terutama Sabah serta Sarawak mempunyai banyak kepelbagaian serta perbezaan, namun keadaan itu harus dilihat sebagai kekuatan kepada Malaysia sebagai sebuah negara, demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ketika Malaysia ditubuhkan, “Bersekutu Bertambah Mutu” dipilih sebagai moto negara bagi memperlihatkan pentingnya kesatuan di sebalik kepelbagaian itu dalam memperkukuh negara ini.

“Kepelbagaian juga boleh meruntuhkan (sesebuah negara) … ada di negara di dunia pada awalnya menerima kepelbagaian kaum dan agama, kemudian timbul permusuhan antara kaum, agama dan wilayah. Negara mana yang boleh berjaya begitu? Semua hancur lebur.

"Jadi, betapa susah pun, betapa sukar sekalipun, pimpinan yang waras dalam kempen politik untuk rebut jawatan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Ahli Parlimen mesti ingat, jangan korbankan negeri dan negara ini,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan