KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) bagi memajukan industri maritim, halal dan berfokuskan masa depan.
Dalam kenyataan hari ini, agensi negeri itu berkata ia telah memeterai MoU dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meneroka kerjasama dalam keselamatan makanan dan pelaburan strategik.
Satu lagi MoU dimeterai dengan pemain infrastruktur global CHEC Construction (M) Sdn Bhd, yang merangkumi perancangan untuk membangunkan Terminal Pelbagai Guna Hab Laut Antarabangsa Bagan Datuk (BDI-SMT) serta mewujudkan hab industri halal dan kecerdasan buatan (AI) di Perak.
BDI-SMT adalah gerbang dagangan penting yang menghubungkan China, ASEAN dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke seluruh dunia.
Kerjasama ini juga meliputi penubuhan hab industri halal dan AI di Perak, yang bertujuan memperkukuh pembuatan beretika, menggalakkan pendigitalan industri serta meletakkan Perak sebagai pemangkin dalam sektor ekonomi baharu.
Menurut kenyataan itu, Perak Corporation Bhd akan meneraju pembangunan BDI-SMT.
Projek itu menyokong visi Perak untuk membangunkan Bandar Maritim Perindustrian Lumut (LUMIC) sebagai enjin pertumbuhan baharu berasaskan pembangunan maritim, logistik dan industri.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif berkenaan mencerminkan kesediaan negeri untuk meneraju sektor yang akan membentuk masa depan perdagangan global dan daya tahan ekonomi.
"Kerjasama ini menunjukkan perubahan yang jelas ke arah inisiatif berteraskan komersial yang mengutamakan kepantasan, inovasi dan penciptaan nilai jangka panjang," katanya.
MoU berkenaan dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Saarani Mohamad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial