WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Permohonan Peter Anthony Semak Keputusan Mahkamah Rayuan Didengar 9 Julai

16/05/2025 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan didengar pada 9 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Harun secara dalam talian hari ini.

“Pada tarikh sama, mahkamah juga akan mendengar bantahan awal pihak pendakwaan berhubung permohonan semakan Peter,” kata Wan Shaharuddin ketika dihubungi Bernama.

Prosiding itu turut disertai TPR Haresh Prakash Somiah dan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter.

Pada 14 Mac lepas, Peter memfailkan notis usul memohon agar Mahkamah Rayuan mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran penjara bertarikh 4 Mac lepas yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan dalam kes tersebut.

Pada 4 Mac lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhir beliau terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Peter sebelum ini telah memfailkan rayuan pada 19 April 2023 bagi mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan, namun gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Beliau telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan