WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Manet Arah Polis Kemboja Siap Sedia Hadapi Jenayah Rentas Sempadan

16/05/2025 03:17 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 16 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa polis negara itu agar sentiasa berwaspada dalam menghadapi jenayah rentas sempadan yang semakin meningkat, ekoran peningkatan penipuan dalam talian yang semakin mengancam rantau itu.

Dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-80 penubuhan Polis Nasional Kemboja, Manet memaklumkan bahawa kerumitan dan ketidakpastian dunia yang kian meningkat mungkin menjejaskan kestabilan politik dan keselamatan awam kerajaan Kemboja.

“Bersiap sedia dan berwaspada untuk menangani ancaman baharu, termasuk jenayah rentas sempadan, siber dan terancang. Pastikan Polis Nasional terus menjalankan tugas dengan profesionalisme, kecekapan dan integriti,” katanya.

Pasukan polis negara itu ditubuhkan pada 16 Mei 1945.

Manet merasmikan upacara sempena sambutan yang diadakan di Akademi Polis Kemboja, daerah Kean Svay, wilayah Kandal, kira-kira 11 kilometer dari Phnom Penh.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Sar Sokha berkata polis negara memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam di Kemboja.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran - daripada ketidakstabilan politik dan kekurangan dalam undang-undang pengurusan sosial hingga faktor luaran dan dalaman - Polis Nasional terus tabah. Ia sentiasa melaksanakan tugas dengan profesionalisme, tanggungjawab dan integriti,” ujarnya.

Sempena sambutan itu, Kemboja dan negara jiran Laos berikrar untuk terus bekerjasama mencegah penyeludupan manusia dan dadah di sempadan serta menjaga keselamatan awam.

Perbincangan berkaitan keselamatan turut diadakan antara Sar Sokha dan rakan sejawatnya dari Laos, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Awam Mejar Jeneral Kolonel Vilay Lakhamfong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan