WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASN 2024: Aaron-Wooi Yik Olahragawan Kebangsaan, Nor Farah Cipta Sejarah

13/05/2025 12:47 PM

PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini, hari ini.

Gelaran kali kedua diraih bekas juara dunia selepas tahun 2022 itu, menyaksikan mereka mengetepikan cabaran pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia, badang negara daripada sukan angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, atlet wushu Wong Weng Soon dan wakil pencak silat Abdul Latif Maxzakir.

Tahun lepas, pasangan kelima dunia itu mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut, dengan menumpaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, 16-21, 22-20, 21-19, pada saingan Paris 2024.

Jaguh boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah pula dinamakan sebagai Olahragawati Kebangsaan dengan mengatasi saingan Sin Li Jane (tenpin boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

Lebih manis, pemain nombor satu dunia itu, melakar sejarah menjadi atlet boling padang wanita negara pertama menggondol gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Nama Nor Farah mencuri perhatian, selepas melakar sejarah meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan masing-masing kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, diwakili Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia Datuk Kenny Goh dan Nor Farah.

Aaron-Wooi Yik tidak hadir ke ASN 2024 susulan penyertaan mereka pada Terbuka Thailand 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pencapaian mempertahankan pingat emas kategori 72 kilogram lelaki pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, melayakkan jaguh powerlifiting negara Bonnie Bunyau Gustin merangkul gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan buat kali ketiga selepas 2021 dan 2023, menewaskan tiga atlet sukan para olahraga iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly dan Eddy Bernard (para olahraga), serta Cheah Liek Hou (para badminton).

Juara Kejohanan Dunia 2024, Hasmunirah Maliki daripada sukan para boling padang pula, meraih gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan dan menumpaskan empat calon lain iaitu dua wakil para berbasikal Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nur Suraiya Muhamad Zamri, Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia) serta Noor Imanina Idris (para olahraga).

Pasukan sepak takraw lelaki kebangsaan muncul pemenang Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan, selepas meraih kejayaan berganda mengungguli saingan double dan regu pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Skuad boling wanita pula memenangi Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan dengan membawa pulang tiga emas, dua perak dan dua gangsa pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024.

Majlis turut mengiktiraf peranan serta sumbangan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dalam sukan seni mempertahankan diri sewaktu menerajui Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) sebelum ini.

Anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1966 itu merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Berikut senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024:

 

Olahragawan Kebangsaan - Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)

Olahragawati Kebangsaan - Nor Farah Ain Abdullah (boling padang)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Hasmunirah Maliki (para boling padang)

Pasukan Lelaki Kebangsaan - Sepak takraw

Pasukan Wanita Kebangsaan - Tenpin boling

Jurulatih Lelaki Kebangsaan - Jamil Adam (powerlifting)

Jurulatih Wanita Kebangsaan - Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat)

Anugerah Tokoh Sukan - Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam

Anugerah Kepimpinan Sukan - Sunny Si Poh Heng (Persatuan Tenpin Boling Sarawak) dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Persatuan Badminton Malaysia)

Anugerah Khas - Johor Motorsport Racing Team, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Selangor Red Giants (e-sukan)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan