WILAYAH - SABAH > BERITA

PMR 2025 Sabah: Perkhidmatan JPN, Kesihatan Antara Diserbu Pengunjung

10/05/2025 07:01 PM

TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah, yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, terus dikunjungi orang ramai dan antara yang menjadi tumpuan ialah perkhidmatan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta kesihatan.

 Penolong Pegawai Bahagian Mekar JPN Sabah Zulkhairi Abdul Karim berkata setakat semalam, lebih 200 pengunjung tampil mendapatkan pelbagai bantuan daripada perkhidmatan bas bergerak di bawah program Mekar JPN. 

"Perkhidmatan tumpuan adalah gantian kad pengenalan dan setakat tengah hari tadi, 50 kad gantian dilakukan, kita buat bas bergerak JPN, kita proses dalam 20 hingga 30 minit dan terus dapat kad pengenalan. Kita juga ada terima permohonan kad pengenalan untuk umur 12 tahun.

"Kami juga ada perkhidmatan cabutan sijil kelahiran dan sijil kematian serta memberi khidmat nasihat untuk kes berkaitan daftar lewat kad pengenalan dan sijil kelahiran," katanya kepada Bernama.

Penyelia Klinik Kesihatan Tawau iaitu Penolong Pegawai Perubatan Japulin@Reizon Lagung pula berkata khemah saringan kesihatan setakat tengah hari tadi menerima 2,000 pengunjung yang menjalani pemeriksaan secara percuma antaranya tekanan darah, kolestrol dan Indeks Jisim Badan (BMI).

"Daripada jumlah itu, kira-kira 200 orang dirujuk ke hospital antaranya berkaitan penyakit darah tinggi serta kencing manis… petang ini, kami juga mulakan saringan HIV (virus kurang daya tahan manusia), penyakit kelamin (STD) dan hepatitis... berbaki sehari lagi PMR, kami juga mengalu-alukan golongan wanita melakukan pemeriksaan pap smear," katanya.

Bagi Pegawai Pergigian dari Unit Pergigian Tawau Dr Amir Faris Ishak, perkhidmatan klinik bergerak untuk pemeriksaan dan rawatan termasuk sapuan florida secara percuma turut mendapat sambutan menggalakkan.

"Setakat pagi tadi, kami menerima 130 pengunjung yang mendapatkan rawatan gigi sahaja, kami juga menerima ramai pengunjung yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pergigian… perkhidmatan ini kami bawa ke tengah komuniti dan sepanjang PMR, kami beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang," katanya.

Pegawai Korporat Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Anna Maria Mazlan berkata setakat semalam, seramai 2,500 pengunjung reruai unit itu di pavilion kesejahteraan rakyat bagi mendapatkan pelbagai informasi bantuan membabitkan program kerajaan.

"Kami ada buat pameran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), kami ada kaunter semakan dan pertanyaan, pengunjung boleh menyemak jika layak menerima bantuan yang disediakan kerajaan... kami juga ada sediakan aktiviti kuiz dan hadiah," katanya.

Seorang pengunjung, Asmira Lamide, 40, dari Kampung Blok 31 berkata dia mengambil peluang untuk melakukan pemeriksaan dan rawatan gigi secara percuma untuk tiga anaknya.

"Di sini perkhidmatan itu lebih pantas... kalau ke klinik kesihatan, perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan… selain itu, kalau pergi ke klinik pergigian swasta bayaran pula mahal, jadi program PMR ini sangat bagus... banyak perkhidmatan dibawa dan diberi secara percuma," katanya. 

Yunos Badik, 45, dari Kampung Saddani pula berkata dia tertarik dengan program Jabatan Akauntan Negara iaitu semakan wang tidak dituntut dan turut berbaris bagi menyemak status dirinya.

"Bagus juga apabila ada PMR ini, orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan terus daripada agensi yang dibawa dari Kuala Lumpur.

"Saya juga membawa dua anak saya ke PMR ini untuk dedah dan luaskan pengetahuan mereka kepada program di bawah Pusat Sains Negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan