WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRU2025 Singapura: "Podcast" Dekatkan Ahli Politik Dengan Pengundi

01/05/2025 06:08 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Mei (Bernama) -- Dalam landskap politik era digital, audio siar atau "podcast"  kini muncul sebagai antara medium utama yang digunakan ramai calon dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025).

Pendekatan ini semakin popular tahun ini, apabila calon-calon menggunakan platform audio siar untuk berinteraksi dengan pengundi di kawasan masing-masing dan juga rakyat Singapura secara umum, membolehkan mereka membincangkan dasar-dasar serta membina kepercayaan melalui penyampaian yang lebih santai dan berbentuk perbualan.

Format ini juga menawarkan kelebihan yang ketara: kandungan kekal boleh diakses walaupun selepas permulaan tempoh bertenang pada tengah malam, apabila semua bentuk kempen adalah dilarang.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong turut mengikuti trend ini apabila muncul dalam episod "podcast Yah Lah BUT"  yang memiliki lebih 20,000 pelanggan.

Dalam episod berdurasi satu jam itu, Wong berdepan soalan-soalan mencabar daripada hos Haresh Tilani dan Terence Chia, termasuk perbandingan gaya kepimpinannya dengan perdana menteri terdahulu serta kebimbangan sekiranya menteri-menteri utama kalah dalam pilihan raya kali ini.

Podcast yang disiarkan pada 30 April itu mencecah 27,000 tontonan di YouTube setakat 5 petang, 1 Mei.

Podcast juga menjadi saluran pilihan bagi calon pembangkang dan calon bebas, termasuk muka baharu untuk meningkatkan populariti dan meraih sokongan.

Rancangan siaran langsung seperti "The Daily Ketchup Podcast" , yang mempunyai 133,000 pelanggan, memberi ruang kepada calon berinteraksi secara langsung dengan orang ramai melalui soalan dan komen waktu nyata.

Satu siaran langsung pada 29 April lalu menampilkan empat calon daripada Parti Pekerja (WP), yang berpeluang menghuraikan manifesto dan berkongsi pandangan mereka mengenai isu semasa.

Video itu kini melepasi 100,000 tontonan.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA, Mujibu Abd Muis, berkata media baharu seperti "podcast"  bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan menyediakan ruang yang lebih terbuka untuk membincangkan pelbagai isu.

“Trend penyampaian seperti ini barangkali lebih digemari oleh golongan muda. Selain itu, mungkin juga kerana peranan media arus perdana yang semakin berkurangan, menyebabkan lebih ramai beralih kepada media baharu seperti "podcast" ,” katanya.

Menurut Mujibu, faktor kebolehcapaian turut menjadikan "podcast" pilihan utama bagi calon politik, khususnya di negara seperti Singapura.

“Podcast mudah diakses oleh sesiapa sahaja yang mempunyai internet dan peranti. Ia juga boleh dimainkan semula serta didengar atau ditonton pada bila-bila masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan