WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Affendi Rashdi Dari BNM Dilantik Sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA Baharu

01/05/2025 08:35 PM

LABUAN, 1 Mei (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengumumkan pelantikan Affendi Rashdi dari Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai Ketua Pengarahnya yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Labuan FSA berkata pelantikan Affendi dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Affendi sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perkhidmatan BNM selain menerajui hala tuju strategik dan operasi sektor Perkhidmatan Perkongsian Berpusat bagi memperkukuh prestasi institusi serta penyampaian perkhidmatan.

Sepanjang kerjayanya yang cemerlang di BNM, Affendi memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Jabatan Kewangan, Timbalan Pengarah serta Pengurus Jabatan Kewangan Pembangunan dan Keterangkuman selain merupakan penyumbang utama kepada Pelan Tindakan Sektor Kewangan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga beberapa dana amanah yang berkaitan dengan BNM termasuk Medical Trust Fund, INCEIF Trust Fund, Asian School of Business Trust Fund dan Tun Ismail Ali Chair Trust Fund.

Affendi memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar sektor kewangan dan rangka kerja pengawalseliaan Malaysia khususnya dalam memperkukuh peranan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP).

Sumbangan penting beliau termasuk semakan semula Akta Institusi Kewangan Pembangunan (AIFP) 2012, pengkorporatan Agrobank, penubuhan SME Bank serta pembentukan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Beliau juga memajukan amalan terbaik perbankan pusat dalam bidang perakaunan dan memberi nasihat strategik dalam hal kewangan, percukaian dan perbendaharaan kepada pengurusan dan lembaga BNM sambil menyelia fungsi perolehan, pentadbiran serta keselamatan dalam strategi perkhidmatan bersama.

Affendi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Universiti Harvard dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau merupakan ahli Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (FCCA), Akauntan Bertauliah dengan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan seorang Ahli Bank Bertauliah yang disahkan oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

Labuan FSA turut mengucapkan penghargaan kepada Ketua Pengarah yang akan menamatkan perkhidmatan iaitu Nik Mohamed Din Nik Musa yang mengakhiri tempoh empat tahunnya pada 30 April 2025.

Katanya, kepimpinan beliau menandakan satu tempoh pertumbuhan dan perubahan yang ketara bagi Labuan IBFC.

Bagaimanapun, dengan diterajui Affendi, Labuan FSA bersedia untuk mengekalkan momentum tersebut selain memupuk inovasi selanjutnya dan mengukuhkan peranannya sebagai pusat kewangan terkemuka di rantau ini.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan