WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ramli Angkat Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Kesembilan

01/05/2025 11:18 AM

GEORGE TOWN, 1 Mei (Bernama) -- Tun Ramli Ngah Talib hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan dalam satu majlis penuh istiadat di Dewan Sri Pinang, di sini, menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Ramli, 84, mengangkat sumpah jawatan dan kemudiannya menandatangani surat sumpah jawatan itu dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Rozana Ali Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long, dengan diiringi 17 das tembakan meriam.

Ramli turut dikurniakan darjah kebesaran negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, yang disampaikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada istiadat.

Terdahulu, Ramli memeriksa barisan kawalan kehormatan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd Solleh Jamal.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan tahniah dan taat setia kepada Yang Dipertua Negeri baharu, Chow menyifatkan pelantikan Ramli sebagai satu anugerah yang amat besar maknanya buat seluruh rakyat negeri ini.

Beliau berkata keperibadian dan kepimpinan Ramli menjulang martabat seorang negarawan sejati dan tokoh berwibawa yang cukup disegani dalam lipatan sejarah pemerintahan negara. 

“Saya yakin di bawah naungan kepimpinan dan kebijaksanaan Tun, Pulau Pinang akan terus bersinar, dipandu oleh ilham serta semangat baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang, sejahtera dan makmur.

“Saya bersama-sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, barisan kepimpinan daripada pelbagai peringkat serta seluruh rakyat Pulau Pinang memperbaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Tun,” katanya.

Pada 24 April lepas, Ramli menerima surat cara pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei 2025, daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Istana Negara.

Pada istiadat sama, beliau turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.

Beliau menggantikan Ahmad Fuzi, 76, yang memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bermula 1 Mei 2021 dan merupakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang keempat yang bukan berasal dari negeri ini.

Ramli pernah menyandang beberapa jawatan penting di peringkat Persekutuan dan negeri, antaranya sebagai Menteri Besar Perak kelapan selama 17 tahun bermula 1982 hingga 1999, Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004 dan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan