WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Eksesais Thunderstorm Dilaksanakan Di Beberapa Kawasan Di Johor Mulai 1 Mei

30/04/2025 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pasukan 21 Gerup Gerak Khas bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor akan melaksanakan satu latihan ketenteraan yang dinamakan Eksesais Thunderstorm Siri 1/2025 bermula 1 hingga 13 Mei ini di beberapa kawasan di Johor.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang terlibat adalah di sekitar Pengerang, Tanjung Pengelih, Teluk Ramunia dan Desaru.

“Eksesais ini akan melibatkan pelbagai aset ketenteraan, pergerakan kenderaan taktikal, penerbangan helikopter serta beberapa elemen letupan.

“Sehubungan itu, adalah dinasihatkan supaya penduduk setempat dan pengguna jalan raya tidak panik serta mematuhi semua arahan keselamatan sepanjang tempoh eksesais dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

TDM memaklumkan sekatan jalan raya dan titik kawalan lalu lintas akan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di beberapa lokasi antaranya di sekitar Teluk Ramunia bermula 1 hingga 9 Mei ini.

Ia turut dilaksanakan di sekitar Jambatan Sungai Johor dan Desaru Coast Ferry Terminal pada 10 Mei, manakala penutupan jalan sementara di Lebuhraya E22 bermula 1 pagi hingga 3 pagi akan dilakukan pada 11 Mei ini.

“Eksesais ini adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan TDM dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keganasan terhadap kedaulatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih mengenai eksesais ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan