KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain atas kenyataan fitnah yang dibuat awal tahun ini.
Permohonan maaf berkenaan berkaitan dua hantaran media pada Januari, walaupun terdapat perintah mahkamah bertarikh 31 Dis lepas yang melarang penulis blog itu daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Menyampaikan keputusan, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong berkata permohonan maaf yang dibacakan di mahkamah juga mesti disiarkan di platform YouTube, TikTok, X dan Telegram selama sekurang-kurangnya tujuh hari. Mahkamah turut memerintahkan Papagomo membayar kos sebanyak RM5,000.
Terdahulu, Wan Muhammad Azri ketika membaca penyataan maaf menyatakan kekesalan terhadap tindakannya serta mengakui kenyataannya pada 14 Jan telah menghina Razarudin.
Beliau juga memohon maaf kerana memuat naik imej KPN yang telah diubah suai pada keesokan harinya di platform sama.
“Saya juga berjanji untuk tidak mengulangi penggunaan kata-kata kesat terhadap plaintif (Razarudin),” katanya.
Mahkamah pada asalnya dijadualkan mendengar prosiding menghina mahkamah yang dimulakan oleh Razarudin terhadap penulis blog berkenaan, namun kedua-dua pihak dinasihatkan untuk mencapai penyelesaian yang membawa kepada permohonan maaf oleh Wan Muhammad Azri dan tindakan membersihkan penghinaan terhadap mahkamah.
Peguam Raam Kumar mewakili KPN manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Wan Muhammad Azri. Razarudin tidak hadir dalam prosiding berkenaan.
Mahkamah pada Februari memberi kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital terhadap Wan Muhammad Azri kerana didakwa melanggar injunksi mahkamah bertarikh 10 Jan.
Injunksi berkenaan melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai KPN mahupun secara peribadi. Ini termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri untuk menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya yang memfitnah.
Pada 26 Dis tahun lepas, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial