WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hartanah Kenyalang Lancar Prospektus IPO, Sasar Kumpul RM19.3 Juta

30/04/2025 07:11 PM

KUCHING, 30 April (Bernama) -- Hartanah Kenyalang Bhd (Hartanah Kenyalang) telah melancarkan prospektus menjelang tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul RM19.3 juta berdasarkan harga IPO sebanyak RM0.15 sesaham.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pembinaan infrastruktur dan bangunan itu berkata IPO itu yang dijadualkan pada 9 Jun, 2025 melibatkan tawaran awam 198.4 juta saham biasa, merangkumi terbitan awam 120.9 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 77.5 juta saham sedia ada.

Secara kolektif, ia mewakili 32.0 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 620.0 juta saham biasa.

Daripada 120.9 juta saham baharu, 31.0 juta tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dan 18.6 juta untuk permohonan pengarah dan kakitangan kumpulan itu yang layak serta individu yang menyumbang kepada kejayaannya.

“Baki 71.3 juta diperuntukkan bagi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

“Terdapat juga tawaran jualan bagi 77.5 juta saham sedia ada, yang akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.

Terbitan awam 31.0 juta saham baharu tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dibuka hari ini dan ditutup pada 27 Mei, 2025 pada 5 petang.

Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang Seah Boon Tiat berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10.9 bilion bagi perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan Sarawak 2025 dan kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur.

Katanya, kira-kira RM1 bilion diperuntukkan bagi membina pelbagai jalan raya dan jambatan bagi menambah baik infrastruktur di Sarawak di bawah belanjawan pembangunan negeri 2025.

“Berbanding prospek pertumbuhan sektor pembinaan di Sarawak, kami merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk membeli enam jengkaut baharu bagi menggantikan yang lama untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti kami.

“Kami juga merancang untuk menawarkan perkhidmatan membina dan reka bentuk bagi perkhidmatan pembinaan bangunan, serta segmen perkhidmatan pembinaan infrastruktur dengan melabur dalam sistem pemodelan maklumat bangunan.

“Teknologi ini boleh mendigitalkan pelbagai aspek pembinaan, memastikan kerjasama yang lancar antara pemilik projek, arkitek, perunding, jurutera dan kontraktor dengan menggunakan model tiga dimensi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan