WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AYPG 2025: 50 Atlet Para Muda Negara Kejar Impian Di Dubai - MPM

30/04/2025 09:58 PM

KLANG, 30 April (Bernama) -- Sebanyak 40 hingga 50 atlet para muda dijangka membawa cabaran negara ke pentas Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dari 7 hingga 14 Dis ini, susulan penarikan diri Uzbekistan sebagai tuan rumah asal.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata hanya atlet berpotensi meraih pingat akan dipilih, selari dengan matlamat untuk mengharumkan nama negara dan bukan sekadar menyertai sebagai ‘pelancong’ sukan.

“Kita tak mahu sekadar menghantar kontingen untuk memenuhi kuota. Ini bukan percutian, ini amanah negara. Pemilihan dibuat berdasarkan kebolehan, prestasi semasa dan potensi menyumbang pingat,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Golden Moon Cafe sebagai penyedia katering rasmi MPM di sini hari ini.

Megat berkata temasya AYPG 2025 juga menjadi medan penting untuk membina pelapis skuad kebangsaan dalam usaha menggantikan ikon sukan para tanah air seperti Bonnie Bunyau Gustin, Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly dan Cheah Liek Hou.

“Sasaran mesti realistik. Atlet muda perlu ada matlamat jelas. Kalau tiada hala tuju dan pencapaian untuk dikejar, tiada motivasi untuk bekerja keras. 

“Kita perlukan wajah baharu yang mampu bersinar di pentas dunia termasuk misi jangka panjang ke Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles dan Brisbane 2032,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan MPM bersama persatuan sukan para kebangsaan akan terus berganding bahu dalam memastikan kesinambungan pembangunan atlet muda berjalan lancar termasuk mencari peruntukan sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan kononnya terdapat atlet negara yang masih belum menerima insentif kemenangan Sukan Paralimpik 2024, Megat menafikan perkara itu dan menegaskan hampir semua ganjaran telah disalurkan.

“Alhamdulillah, semua insentif telah diserahkan kecuali satu sahaja daripada B. Grimm, penaja dari Jerman. Pengasas syarikat mahu menyerahkan sendiri sumbangan itu kepada atlet kita. Cuma kami masih menunggu tarikh yang sesuai memandangkan jadual beliau sangat padat. Saya sasar paling lambat pun Jun ini.

“Bagi saya, ini satu penghormatan. Walaupun sedikit lambat, yang penting ialah hubungan jangka panjang dan kepercayaan yang terjalin,” katanya. 

Megat turut mengingatkan atlet agar tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi di media sosial dan menegaskan kebajikan atlet sentiasa menjadi keutamaan MPM.

“Kalau ada masalah, hubungi saya secara terus. Kita satu keluarga. Selagi mampu, kita akan bantu,” ujarnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan