WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KETEQ AI: Sarawak Perkenal Peranti Penukar Kuasa Berasaskan AI Pertama Dunia

30/04/2025 11:25 AM

KUCHING, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang teknologi global apabila memperkenalkan KETEQ AI, peranti penukar kuasa pertama di dunia yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pencapaian itu merupakan antara hasil utama di bawah inisiatif Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab berteknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.

“Pembangunan Penukar Kuasa AI Edge ini bukan sekadar hasil dasar, malah menjadi pemangkin perubahan besar buat Sarawak. Inovasi ini mewakili lonjakan transformatif dalam landskap teknologi kita,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau mengumumkan perkara itu semasa lawatan ke fasiliti CSA Catapult di Cardiff, Wales, pada Selasa, di mana beliau menjelaskan bahawa projek KETEQ AI bermula pada 23 April tahun lepas susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara SMD Semiconductor dan CSA Catapult.

Menurut Abang Johari, KETEQ AI direka bentuk dengan keupayaan mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam tempoh kurang 0.1 milisaat, menjadikannya antara sistem paling responsif dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa.

Abang Johari berkata teknologi tersebut merupakan satu kemajuan besar yang membuktikan komitmen Sarawak dalam membangunkan keupayaan teknologi strategik sendiri. Peranti itu bukan sahaja menjanjikan kecekapan tenaga yang tinggi, malah direka untuk beroperasi pada platform berskala dengan keupayaan tindak balas masa nyata.

“KETEQ AI mempunyai potensi aplikasi yang luas, termasuk dalam grid pintar, sistem kenderaan elektrik, teknologi autonomi, Internet Industri Pelbagai Benda (IoT), sistem penyelenggaraan ramalan dan mekanisme kawalan kritikal,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil turut mengadakan demonstrasi langsung prototaip tersebut bagi memperlihatkan kebolehannya mengendalikan pelbagai senario operasi kompleks.

Dengan slogan ‘Inovasi Sekelip Mata’, KETEQ AI membuktikan keupayaan bakat Sarawak dalam mencipta teknologi bertaraf dunia, sekali gus meletakkan Sarawak di peta global dalam bidang AI dan sistem tenaga pintar.

Abang Johari tiba di London pada Selasa bagi mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja lima hari ke United Kingdom sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama dalam pembangunan semikonduktor.

Program beliau termasuk pertemuan dengan Cambridge University Press and Assessment, London School of Economics and Political Science (LSE), serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara LSE dan kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak itu juga dijadual bertemu pegawai dari Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa dan Perikatan Tenaga Boleh Diperbaharui Global, serta menyampaikan ucaptama pada pertemuan bersama pemain industri dan tokoh perniagaan terkemuka UK.

Beliau turut akan bertemu dengan pelajar Sarawak di UK dalam satu perhimpunan pada 3 Mei ini, di mana beliau dijangka berkongsi pandangan mengenai inisiatif pembangunan Sarawak dan mengadakan sesi soal jawab bersama para pelajar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan