WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HUBUNGAN DENGAN MALAYSIA BAIK TETAPI MASIH ADA ISU UNTUK DISELESAIKAN PENGGANTI, KATA PM LEE

10/05/2024 11:57 PM

SINGAPURA, 10 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura yang bakal berundur, Lee Hsien Loong, berkata hubungan republik itu dengan negara jiran Malaysia "umumnya baik" sepanjang tempoh perkhidmatannya, tetapi masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan penggantinya.

Lee, dalam wawancara bersama media tempatan menjelang peralihan kepimpinan pada 15 Mei ini, berkata sepanjang 20 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, kemajuan telah dicapai dalam beberapa isu bersama rakan sejawatnya di Malaysia, termasuk isu Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) dan tanah Keretapi Tanah Melayu.

“Sebagai contoh, bersama (Tun) Abdullah Badawi, beliau merupakan Perdana Menteri ketika keputusan Pedra Branca dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

“Kami berbincang mengenainya, saya bercakap dengannya, dan kami memutuskan untuk menerima keputusan ini dan sekarang kami harus melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya dalam wawancara yang disiarkan pada Jumaat.

Transkrip wawancara itu turut dikongsi di laman sesawang Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Lee, yang menjadi Perdana Menteri ketiga Singapura pada 2004, pernah bekerjasama dengan ramai Perdana Menteri Malaysia, bermula dengan Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Kerajaan Singapura itu berkata bersama rakan sejawatnya ketika ini, Anwar, kedua-dua pihak berbincang mengenai kerjasama penting termasuk Sistem Transit Rapid (RTS Link) yang akan menghubungkan Johor, Malaysia, dengan Singapura.

“Kami membincangkan isu lain yang boleh membawa kepada kerjasama tetapi juga sensitif. Ruang udara, sempadan maritim..., air, ini adalah perkara yang perlu dibincangkan. Kami belum menyelesaikannya. Jadi, masih ada kerja yang perlu dilakukan oleh pengganti saya,” katanya.

Lee berkata hubungan dengan negara jiran seperti Malaysia akan sentiasa menjadi "rumit" kerana ia berpotensi menimbulkan pandangan yang berbeza.

“Saya fikir kedua-dua pihak tahu perkara ini, dan kedua-duanya cuba sedaya upaya untuk tidak berbalah, kerana banyak perkara boleh dilakukan bersama,” katanya.

Lee akan melepaskan jawatannya pada 15 Mei bagi memberi laluan kepada penggantinya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong, yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada tarikh yang sama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan