WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAISAL HALIM MEMASUKI FASA RAWATAN BAHARU

09/05/2024 01:56 PM

SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Proses pemulihan lecur tahap empat dialami pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim, yang cedera disimbah asid kini memasuki fasa baharu iaitu rawatan rekonstruktif.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair berkata pemain itu yang telah menjalani dua pembedahan sebelum ini, kini berada dalam fasa rawatan rekonstruktif yang melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

"Seperti kita tahu keadaan luka beliau serius tapi selepas pembedahan kedua kita nampak proses pemulihan mengikut seperti apa yang dirancang.

"Bila berada di fasa rekonstruktif ini protokolnya lebih ketat dari segi rawatan dan sebagainya. Kita akan hadkan sebarang sentuhan bagi mengurangkan komplikasi," katanya selepas ditemui di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Muhammad Hazwan berkata diet pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut dipantau termasuk mengandungi protein tinggi bagi membantu proses penyembuhan.

"Diet lembut untuk keselesaan beliau tetapi apa yang paling penting ialah nutrisi yang perlu diambil. Jadi nutrisinya dikawal dan dipantau rapi dengan komposisi nutrisi antaranya membabitkan diet tinggi protein,” katanya.

Bercakap kepada Bernama, bekas Ketua Jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe berharap dapat melihat Faisal Halim yang juga dikenali sebagai 'Mickey' bangkit semula dan mempamerkan kelincahannya di padang.

Terkejut dengan nasib menimpa bekas anak buahnya itu, Cheng Hoe berkata satu kerugian buat skuad Harimau Malaya jika insiden tersebut menjejaskan karier pemain yang dilabelkan beliau sebagai pemain berbakat besar.

“Tetapi saya rasa Mickey seorang yang secara mental kuat dan tabah, saya rasa dengan sokongan semua beliau boleh kembali bermain, tidak kira berapa lama masa diambil, kita perlu bersabar dan terus beri galakan kepadanya,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan yang kini membimbing kelab Thailand Police Tero FC itu.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan