WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KELANTAN BERI BANTUAN RM300,000 KEPADA TABUNG HAJI NEGERI

09/05/2024 01:30 AM

KOTA BHARU, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memberikan bantuan sebanyak RM300,000 kepada pengurusan Tabung Haji (TH) negeri bagi melancarkan proses perjalanan seramai 2,360 jemaah haji di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata bantuan berkenaan diberi pada setiap tahun termasuk tahun ini khususnya pada musim haji.

Beliau berkata bantuan yang diberi itu adalah untuk segala urusan berkaitan jemaah haji Kelantan.

“Oleh itu, saya berharap jemaah haji menggunakan peluang yang dikurniakan Allah ini dengan  memperbanyakkan amal ibadat di Tanah Suci.

“Selain itu, mereka (jemaah haji) juga perlu bersabar kerana banyak ujian semasa menunaikan haji dan jaga hubungan sesama manusia,” katanya.

Mohd Nassuruddin berkata jemaah haji juga diminta untuk menjaga kesihatan dan minum air secukupnya kerana cuaca di Arab Saudi lebih panas.

“Pada malam ini sahaja, seramai 141 jemaah haji akan berlepas ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya kepada pemberita selepas menghantar dan menyampaikan beg cenderamata kepada jemaah haji di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini malam ini.

Kesemua 141 jemaah haji berkenaan merupakan kumpulan kedua yang akan berlepas bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan