WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HATRIK MUHAMMAD AZRAI AIZAD BANTU SPEEDY TIGERS KEJUTKAN NEW ZEALAND 6-4

08/05/2024 12:52 AM

IPOH, 7 Mei (Bernama) --Juara bertahan, Malaysia mempamerkan aksi hebat apabila mengejutkan  pasukan nombor 10 dunia New Zealand 6-4 pada perlawanan ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 di Stadium Hoki Azlan Shah di sini  malam ini.

Kemenangan kedua Speedy Tigers selepas membenam Kanada 6-2 kelmarin menyaksikan penyerang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melakukan hatrik kedua pada perlawanan dalam keadaan cuaca hujan.

Bagaimanapun, anak buah Sarjit Singh tidak menunggu lama untuk merobek gawang pasukan Sukan Olimpik Paris 2024 itu dengan jaringan padang Faizal Saari seawal minit kedua perlawanan.

Malaysia, pasukan ranking ke-13 dunia, menambah jaringan kedua  tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Azrai Aizad’ sebelum pemain muda Azimuddin Syakir Kamaruddin menceriakan kira-kira 4,000 penonton dengan jaringan ketiga pada minit keenam.

Muhammad Azrai Aizad sekali lagi menemukan sasaran apabila menyudahkan hantaran cantik Shello Silverius pada minit ke-14 untuk mengukuhkan kedudukan sebelum skuad Black Sticks bangkit untuk mengejar ketinggalan 3-0.

Jake Smith menghasilkan gol pertama New Zeland menerusi jaringan padang pada minit ke-19 dan pukulan penalti pada minit ke-28 oleh Jonty Elmes.

New Zealand, juara dua kali mempunyai peluang untuk merapatkan jurang menerusi pukulan penalti kedua daripada Elmes dengan hanya 18 saat sebelum rehat tetapi penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman menepis bola di sebelah kanan untuk mengekalkan kedudukan 4-2.

Selepas suku ketiga tanpa jaringan, Speedy Tigers meneruskan pesta gol pada suku terakhir apabila Muhajir Abdul Rauf menolak masuk hantaran Muhammad Azrai Aizad pada minit ke-52.

Jurulatih New Zealand Greg Nicol kemudian memilih 'power-play’ v(tanpa penjaga gol dengan memasukkan pemain lain) dan percaturan itu membuahkan hasil dengan jaringan pukulan sudut penalti Scott Cossslett pada minit ke-58.

Bagaimanapun, taktik itu membawa padah apabila Speedy Tigers menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-60 menerusi serangan balas daripada Muhammad Azrai Aizad untuk melengkapkan hatrik kedua pemain berusia 24 tahun itu.

Issac Houlbrooke menjaringkan gol keempat New Zeland pada 18 saat perlawanan tamat  untuk aksi menghiburkan itu berkesudahan 6-4.

Muhammad Azrai Aizad menjaringkan hatrik pertama ketika menentang Pakistan Sabtu lalu.

Malaysia tewas tipis 5-4 kepada Pakistan sebelum bangkit untuk menewaskan Kanada 6-2 manakala New Zeland membelasah Kanada 7-2 dan tewas 1-4 kepada Jepun.

Sarjit menyifatkan jaringan awal di sebalik kesilapan lawan membolehkan mereka mendahului 4-0 sebelum  membenarkan New Zealand bangkit semula.

"Barisan depan memainkan peranan hebat dan perlu memperkukuhkan bentang pertahanan ketika di bawah tekanan pihak lawan dan semua pemain menampilkan aksi yang komited dan secara perlahan-lahan kita akan berada di tahap yang sepatutnya,”katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Beliau memuji prestasi penyerang  Faizal, wira hatrik Muhammad Azrai Aizad dan penjaga gol Muhammad Hafizuddin yang dinamakan pemain terbaik perlawanan.

Sarjit menuntut anak buahnya untuk sekali lagi menampilkan aksi terpuji apabila menentang Jepun Rabu ini.

Selepas tiga perlawanan dalam pusingan round-rbin, Pakistan mengungguli kedudukan dengan kelebihan jaringan apabila berkongsi tujuh mata dengan Jepun diikuti Malaysia (enam mata), New Zeland (3), Korea Selatan (3) dan Kanda tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas akan mencabar gelaran manakala pasukan ketiga dan keempat bersaing untuk kedudukan pingat gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan