WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ATLET PELAPIS BAKAL NIKMATI DISKAUN PENERBANGAN SEHINGGA 20 PERATUS - HANNAH

07/05/2024 07:00 PM

SEPANG, 7 Mei (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini memberi khabar gembira buat arena sukan negara terutamanya kepada atlet pelapis yang bakal menikmati diskaun tiket penerbangan Malaysia Airlines sehingga 20 peratus. 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kerjasama dalam tempoh setahun itu dijangka memberi manfaat kepada 1,000 atlet, 150 kakitangan kejurulatihan, 221 persatuan serta 103 jenis sukan yang mendapat pengiktirafan kementerian berkenaan untuk menyertai temasya selain menjalani latihan di dalam mahupun luar negara. 

“Kalau kita hantar lima atlet mungkin ada atlet lain persatuan itu yang tidak ditaja oleh kerajaan, jadi ibu bapa kena beli tiket mungkin kerana posisi mereka di tempat keenam atau kejutuh. Selagi mereka dalam senarai diiktiraf KBS mereka akan dapat semua benefit ini.

“Produk ini akan memanfaatkan atlet junior, pembangunan bakat, kita tahu bawah atlet junior bawah 18 dan 12 tahun yang tak dapat pendedahan kerana tak cukup bajet...melalui (kemudahan) ini atlet junior  akan dapat lebih banyak pendedahan dan membantu mereka membuat persiapan bila masuk Program Podium nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dan MAG di Kampus Akademi Malaysia Airline Berhad (MAB) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail.

Hannah memaklumkan atlet yang berminat mendapatkan diskaun berkenaan perlu melalui persatuan sukan masing-masing ataupun Majlis Sukan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Izham bagaimanapun memaklumkan peratusan diskaun berkenaan bergantung kepada musim penerbangan namun ia sebenarnya menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong kecemerlangan sukan dan memupuk bakat ahli sukan tanah air.

MHsports yang disediakan MAG khusus untuk KBS menawarkan faedah eksklusif di mana individu yang layak boleh menikmati diskaun untuk tambang penerbangan dan tambahan elaun bagasi selain memperoleh mata Enrich.

Tawaran itu terpakai untuk penerbangan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines sahaja dan tidak termasuk rakan kongsi syarikat penerbangan Oneworld dan Codeshare.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan