WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG BELIA WILAYAH PERSEKUTUAN JADI PLATFOTM BELIA SUARAKAN PANDANGAN

07/05/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) menjadi platform kepada anak-anak muda menyuarakan pandangan, cadangan atau kritikan membina bagi menambah baik pelaksanaan dasar sedia ada dan baharu di Wilayah Persekutuan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata SBWP adalah platform terbuka dan inklusif yang akan menyatukan anak-anak muda dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan pelbagai latar belakang bagi membahaskan usul terkait dasar dan polisi di Wilayah Persekutuan.

"Jika di peringkat nasional, acaranya adalah seperti Parlimen Belia, tetapi Parlimen Belia lebih memberi fokus kepada isu nasional manakala fokus SBWP tertumpu kepada isu di Wilayah Persekutuan sahaja.

"Saya inginkan Wilayah Persekutuan dijadikan tempat untuk melatih dan membentuk pemimpin muda yang pada satu hari nanti akan memimpin negara," katanya kepada pemberita selepas pra peluncuran SBWP sempena program Semarak Aidilfitri bersama Media, di sini, hari ini. 

Dr Zaliha berkata SBWP yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan akan mengumpulkan 65 belia dengan lima peserta akan mewakili setiap Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. 

"Mereka yang dipilih akan bersidang ala Parlimen untuk membahaskan dasar-dasar yang terkait dengan Wilayah Persekutuan, melibatkan lima kluster utama iaitu Ekonomi, Sosial,Teknologi, Perundangan dan Dasar serta Alam Sekitar dan Kelestarian Alam," katanya. 

Beliau berharap SBWP akan mendapat pandangan, kritikan membina dan cadangan daripada golongan belia terhadap polisi yang telah dan akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan. 

Permohonan penyertaan sebagai ahli dibuka kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berusia 18 hingga 35 tahun, bermula hari ini hingga 17 Mei ini. 

Permohonan boleh dibuat melalui laman web http://sidangbeliawp.my/. Peserta yang terpilih akan disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan Peserta.

Mesyuarat Pertama SBWP akan dilaksanakan pada 12 hingga 15 Julai manakala Mesyuarat Kedua SBWP akan diadakan pada 8 hingga 11 Nov depan. 

Sementara itu, dalam Majlis Semarak Aidilfitri bersama Media, Dr Zaliha turut meyampaikan sumbangan khas berjumlah RM1.102 juta kepada bakal jemaah haji 1445H / 2024M di Wilayah Persekutuan melalui inisiatif Ihsan @ PUJI.

Sumbangan khas itu melibatkan RM776,000 buat jemaah haji di Kuala Lumpur, RM289,500 (Putrajaya) dan RM36,500 (Labuan) bertujuan untuk membantu jemaah haji dalam persiapan mereka untuk mengerjakan ibadah tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan