WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUMBANGAN LEBIH RM1 JUTA BAGI BAKAL JEMAAH HAJI MUASSASAH DI TIGA WP - DR ZALIHA

07/05/2024 04:25 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memperuntukkan sumbangan wang tunai berjumlah RM1.102 juta kepada 2,204 bakal jemaah haji di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui inisiatif Ihsan@PUJI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata setiap jemaah haji akan menerima RM500 sebagai persiapan mereka untuk mengerjakan ibadah berkenaan.

"Sumbangan wang tunai itu akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) dan kemudiannya akan diagihkan kepada bakal jemaah haji muassasah di wilayah masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata sumbangan seumpama itu merupakan kali pertama diberikan oleh JWP dan jabatan berkenaan akan terus komited untuk memberi fokus dalam menyokong keperluan rakyat, termasuk dalam aspek keagamaan dan ibadah.

"Saya berharap agar sumbangan ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah dan didoakan semoga dikurniakan haji yang mabrur," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan