WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIPUTAN DIPERLUAS, CUTI BERSALIN 98 HARI ANTARA CADANGAN PINDAAN ORDINAN BURUH SABAH

07/05/2024 02:10 PM

KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Cadangan pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (OBS) yang dikuatkuasan sejak 1950 itu, melibatkan 12 pindaan utama kepada 62 fasal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata OBS hanya pernah dipinda pada 2005, dan cadangan pindaan terkini ordinan itu melibatkan langkah memperluas OBS kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, dan tempoh cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari.

Selain itu katanya, antara inti pati penting cadangan pindaan itu juga melibatkan suami diberi cuti paterniti selama tujuh hari kepada semua isteri yang sah tetapi hanya untuk lima anak pertama, dan waktu kerja minggu dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

“Tempoh 19 tahun (sejak 2005) ialah tempoh yang lama dan sesuatu undang-undang itu perlu dikaji semula untuk ditambah baik terutamanya undang-undang melibatkan kebajikan pekerja dan keperluan majikan untuk menjalankan perniagaan.

“Sudah pasti undang-undang lebih terkini dan tidak ketinggalan dapat menarik lebih banyak syarikat luar melabur dengan lebih yakin dan selesa ke Sabah. Pindaan ini tepat pada masanya kerana kerajaan negeri amat memerlukan perundangan perburuhan relevan dan sesuai dengan situasi semasa," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di Putrajaya berkata pindaan Rang Undang-undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

Anwar dilaporkan berkata pindaan Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap 67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) itu bagi memastikan selari dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.

Hajiji berkata berkata cadangan pindaan itu juga akan memberi faedah secara menyeluruh, adil dan saksama kepada setiap pekerja serta majikan, malah setara dengan perundangan di Semenanjung Malaysia, seterusnya menjaga kebajikan pekerja dan kemudahan menjalankan perniagaan oleh majikan.

Katanya, pindaan itu memudahkan Malaysia khususnya Sabah menembusi pasaran lebih besar melalui perjanjian Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership  (CPTPP) melibatkan 11 negara yang hasilnya menarik lebih banyak pelabur datang dan mewujudkan peluang pekerjaan rakyat Sabah.

Hajiji yakin dengan pindaan OBS itu juga akan dapat menaikkan imej Sabah di peringkat antarabangsa terutamanya berkaitan dengan isu-isu hak asasi manusia dan buruh, isu penghapusan diskriminasi, isu membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Beliau berkata industri juga memerlukan undang-undang yang dapat mengadaptasi keperluan revolusi perindustrian terkini yang melibatkan teknologi automasi seperti Internet benda, data raya, kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan.

Justeru, Hajiji berkata kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi agar cadangan pindaan itu dapat dibentangkan pada sesi sidang Parlimen akan datang supaya ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera agar faedahnya dapat dinikmati warga pekerja dan majikan di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyokong penubuhan Majlis Penasihat Buruh peringkat negeri Sabah yang terdiri daripada kesatuan sekerja dan persatuan majikan terbesar mewakili seluruh pekerja dan majikan yang ada di negeri itu.

"Pihak kerajaan pula terdiri daripada 16 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berperanan dan bertanggungjawab kepada isu-isu perburuhan negeri," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan