WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA-SENEGAL KUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA SERTA MAJUKAN KERJASAMA PELBAGAI HALA

07/05/2024 12:15 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei  (Bernama) -- Malaysia dan Senegal menzahirkan rasa gembira dengan hubungan baik dan mesra antara kedua-dua negara serta bersetuju untuk bekerjasama erat bagi memperdalam kerjasama demi kepentingan bersama, menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Luar atau Wisma Putra berkata bidang yang dikenal pasti bagi kerjasama itu termasuk perdagangan, pertanian, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, kewangan Islam, wakaf dan zakat, penjagaan kesihatan dan pendigitalan.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan adalah hasil perbincangan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya, Yassine Fall semasa lawatan rasmi dua hari ke Senegal yang berakhir pada Selasa.

"...lawatan pertama ke Senegal oleh Menteri Luar Malaysia sejak Malaysia dan Senegal menjalinkan hubungan diplomatik pada 1986," menurut kenyataan itu. 

Kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Senegal serta isu global yang menjadi perhatian bersama, menurut kenyataan itu lagi. 

"Menteri Luar juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senegal Bassirou Diomaye Diakhar Faye. Pertemuan tersebut memberikan peluang untuk mengulangi komitmen Malaysia dalam mengukuhkan ikatan persahabatan di antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu. 

Menurut Wisma Putra, Mohamad turut berkesempatan untuk bertemu dengan diaspora Malaysia di Dakar serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). 

Kenyataan itu menyatakan bahawa lawatan Mohamad ke Senegal menegaskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Senegal serta memajukan kerjasama antara kedua negara di forum pelbagai hala.

Ia juga membuka peluang untuk memperluas kerjasama antara kedua-dua negara dalam tahun-tahun akan datang.

Pada 2023, Senegal merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai dagangan bernilai RM1.04 bilion (US$227.49 juta). Ini merupakan peningkatan 16 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2022, menurut Wisma Putra.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan