WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WAI CHING GEMBIRA PAHAT NAMA DI TAIPEI 101 SELEPAS ENAM TAHUN

05/05/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pelari menara Malaysia Soh Wai Ching tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas berjaya memahat nama di puncak Taipei 101 di Taiwan sebagai juara Kejohanan Larian Menara Dunia selepas enam tahun, semalam. 

Atlet berusia 30 tahun yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada edisi 2018 itu mengakui ia hasil kerja keras apabila beliau terpaksa berhempas pulas menewaskan atlet jepun Ryoji Watanabe dalam kejohanan berkenaan.

“Saya sangat teruja kerana memenangi kejuaraan ini selepas kejuaraan dunia sebelum ini pada 2018. Ia sepatutnya berlaku pada 2020 tetapi kerana pandemik COVID-19 ia ditangguhkan.

“Akhirnya ia berlaku dan saya telah menunggu detik ini sekian lama...kejayaan ini bukan hanya untuk diri saya tetapi juga untuk penaja dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran video di Facebook hari ini.

Wai Ching juga melahirkan harapan supaya kejohanan dunia itu dapat dianjurkan di bangunan Merdeka 118 di sini suatu hari nanti.

Beliau merangkul kejuaraan selepas mencatatkan masa keseluruhan 18 minit dan 36.62 saat pada kejohanan yang menarik 6,000 penyertaan itu.

Atlet Jepun Ryoji Watanabe merekodkan 18:40.04s dan Mark Bourne dari Australia (19:33.12) masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga, menurut laman web rasmi kejohanan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan