WILAYAH - SELATAN > BERITA

JOHOR PASTIKAN MASALAH BEKALAN AIR KETIKA PERAYAAN TIDAK BERULANG

27/04/2024 05:29 PM

KLUANG, 27 April (Bernama) -- Kerajaan Johor akan memastikan masalah “tidak cukup” air yang berlaku di negeri ini terutamanya ketika musim perayaan tidak lagi berulang dengan merangka beberapa langkah penyelesaian.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata walaupun masalah bekalan utiliti berkenaan yang berlaku pada Aidilfitri lepas tidak seburuk tahun lepas, ia tetap mengganggu kelancaran lebaran bagi mereka yang terlibat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha memastikan sifar masalah bekalan air pada hari raya tahun hadapan dengan beberapa langkah telah diambil termasuk menambah baik sistem yang ada.

“Saya dengar antara kawasan yang teruk mengalami masalah air ialah daerah Kluang, hampir dua minggu ketika raya berhadapan dengan masalah air, setiap masa saya rasa risau dan kalau boleh masalah ini selesai segera.

“Untuk mengatasi masalah ini, saya bukan sahaja berbincang dengan Ahli Majis Mesyuarat Kerajaan negeri tetapi juga dengan orang yang berpengalaman seperti Datuk Seri Hasni Mohamad (Ahli Parlimen Simpang Renggam) dan beberapa yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Simpang Renggam di Pusat Perdagangan Majlis Daerah Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Selain masalah bekalan air, Onn Hafiz berkata pentadbirannya akan cuba mengatasi masalah banjir yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

Beliau berkata beberapa langkah telah diambil dan dilaksanakan secara berperingkat antaranya membina projek tebatan banjir di empangan.

“Kita tidak mahu setiap kali datangnya musim hujan atau tengkujuh, banjir berlaku sekali gus menyebabkan rakyat di negeri ini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan