WILAYAH - TIMUR

OP SELAMAT 22/2024: 359 KES KEMALANGAN DIREKOD DI TERENGGANU

16/04/2024 02:24 PM

KUALA TERENGGANU, 16 April (Bernama) -- Sebanyak 359 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 22/2024 sempena Hari Raya Aidilfitri di Terengganu, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan.

Beliau berkata tujuh daripada kes tersebut melibatkan kemalangan maut mengakibatkan tujuh kematian di jalan persekutuan, jalan negeri dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Selain itu, beliau berkata sebanyak 9,052 saman telah dikeluarkan terhadap pesalah jalan raya dengan nilai keseluruhan sekitar RM20,000.

"Kadar kemalangan maut yang dicatatkan sepanjang enam hari Op Selamat tahun ini yang bermula 8 April berkurangan kepada tujuh kes berbanding sembilan kes tahun lepas.

"Sebahagian besar saman dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju, memotong barisan dan melanggar lampu isyarat merah," katanya selepas Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu.

Sementara itu, Mazli berkata sebanyak 12 kes pecah rumah direkodkan dalam tempoh pelaksanaan Op Selamat 22/2024.

Bagaimanapun, beliau berkata kes berkenaan berlaku di luar kawasan yang berdaftar dengan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

"Tahun ini polis Terengganu menerima 490 permohonan termasuk melalui VSP dan isian borang di balai-balai polis. 

"Unit peronda sentiasa memantau kawasan rumah yang berdaftar dan alhamdulillah tiada kes jenayah dilapor berlaku di situ," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan