Keselamatan merupakan ciri penting dan utama dalam pembangunan produk. Di samping memastikan produk berfungsi mengikut spesifikasi tertentu ia juga perlu memenuhi dan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh badan-badan berkaitan. Kecuaian dalam mempertimbangkan elemen-elemen tertentu akan memberi impak atau berlaku tragedi luar jangka. Kesan yang lebih besar boleh menyebabkan kehilangan nyawa, harta benda mahupun pencemaran alam sekitar. Hal ini turut mempengaruhi elemen-elemen kelestarian sama ada melibatkan elemen sosial, ekonomi dan persekitaran.
Dewasa ini, dengan kecanggihan pembangunan teknologi di pasaran, penggunaan perisian simulasi penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan produk. Selain itu, dengan pengintegrasian bersama penggunaan teknologi lain seperti, kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan data raya (big data). Integrasi ini dapat memastikan ketepatan hasil, menjimatkan masa dan mengoptimumkan kecekapan sesuatu perisian. Ia sekali gus dapat memastikan produk yang dihasilkan menepati keperluan dan selamat untuk digunakan.
Perisian Simulasi: Bantu Penilaian Awal Produk, Elak Pembaziran
Seiring dengan teknologi semasa, kepelbagaian perisian simulasi dapat membantu melancarkan pembangunan sesuatu produk. Melalui penggunaan perisian simulasi, ia dapat membantu mengenal pasti, meramal dan menentusahkan keupayaan sesuatu produk. Proses pengujian dan analisis yang dilaksanakan membantu proses penilaian awal dalam menilai prestasi mengikut reka bentuk. Pelbagai keadaan dan fenomena dapat dipertimbangkan bergantung kepada kebolehfungsian produk, sama ada disebabkan oleh impak, suhu atau cuaca. Reka bentuk produk diubah suai berdasarkan dapatan yang optimum. Secara umumnya, penggunaan perisian simulasi penting bagi menilai kebolehfungsian memenuhi spesifikasi yang diperlukan, di samping selamat dalam penggunaan dan mengurangkan risiko-risiko tertentu.
Penggunaan perisian simulasi dapat mempercepat proses pembangunan produk dan menjimatkan kos. Ia juga dapat mengurangkan pembaziran dalam proses pembangunan, sama ada melibatkan bahan mentah, mesin ataupun utiliti. Pemilihan dan penggunaan bahan yang bersesuaian pada produk mempengaruhi kebolehtahanan dan kebolehupayaan pada produk. Melalui penggunaan perisian simulasi, sifat-sifat dan ciri-ciri bahan yang dipertimbangkan dinilai mengikut kesesuaian dan diramal keupayaan bahan mengikut fenomena yang dikaji. Penilaian yang dibuat ini menyumbang kepada kualiti dan prestasi produk yang dihasilkan seterusnya menyumbang kepada kebolehpercayaan produk dalam penggunaan.
Kepelbagaian produk adalah berbeza-beza, dari segi reka bentuk, fungsi, saiz, jenis dan sebagainya. Perisian simulasi berupaya untuk menilai dan meramal kepelbagaian tersebut, sama ada reka bentuk, sistem kompleks atau sebaliknya. Perkembangan teknologi menyumbang kepada pembangunan produk yang bercirikan moden, dengan integrasi pelbagai sistem atau bersepadu berbanding modular. Hal ini memerlukan penilaian yang komprehensif dalam memastikan produk yang dihasilkan adalah berpandukan kepada piawaian yang telah ditetapkan oleh badan-badan atau organisasi yang berkaitan.
Kemampanan produk pada jangka masa panjang dapat diramal dengan mempertimbangkan elemen-elemen yang mempengaruhi kebolehfungsian produk. Penggunaan perisian simulasi dapat memberi petunjuk awal bagi strategi pemantauan. Ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada penyelenggaraan kecemasan dan dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan cekap. Di samping itu, impak terhadap elemen kelestarian dapat dinilai secara maya bagi memastikan produk yang dihasilkan menyokong dan tidak memberikan impak yang negatif. Simulasi yang dilaksanakan dapat membantu dalam membuat pemilihan bahan yang digunakan, sistem yang selamat, kos berpatutan dan menyumbang kepada elemen kelestarian sejagat.
Penggunaan perisian simulasi membantu meramal kegagalan yang berlaku dan seterusnya ia dapat memberikan petunjuk dalam merancang pelan kecemasan sekiranya kegagalan berlaku. Hal ini membantu menghasilkan pelan tindakan yang rapi dan persediaan yang perlu dilaksanakan dalam menanggani situasi yang di luar jangka, sama ada dalam bentuk latihan atau tindakan kecemasan. Pelan tindakan ini dapat menyumbang kepada pendidikan keselamatan yang perlu dipatuhi. Ia sekali gus dapat mendidik penggunaan sesuatu produk dengan beretika dan bertanggungjawab.
Era teknologi kini perlu mengoptimumkan penggunaan perisian simulasi. Dengan kepelbagaian produk, reka bentuk, bahan dan sistem, simulasi penting dalam pembangunan produk. Pembangunan produk diuji secara maya dalam mengenal pasti prestasi, meramal risiko dan mempertimbangkan elemen keselamatan produk. Kaedah ini dapat mengurangkan kebergantungan pembangunan prototaip secara fizikal, seterusnya dapat mempercepatkan pembangunan sesuatu produk.
Justeru penggunaan perisian simulasi menjadi alat penting dalam pembangunan produk, sementelah dengan kepesatan era teknologi moden pada masa kini. Ia membolehkan analisis prestasi, pengurusan risiko dan penilaian kecemasan dijalankan secara maya, seterusnya mengurangkan potensi tragedi serta mempertingkat keselamatan dan kecekapan sistem. Dengan erti kata lain, perisian simulasi berperanan dalam menyokong pembangunan produk secara sistematik lestari dan selamat.
-- BERNAMA
Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pencegahan dan Kebolehpercayaan Kegagalan Mekanikal (MPROVE) Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Beliau juga ialah Ketua Jabatan, Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia