PENA WANITA

Semarakkan Kemerdekaan : Memartabatkan Jalur Gemilang Dan Jati Diri Demi Perpaduan Rakyat

28/07/2025 12:54 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Norazlinda Mohammad

Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat hari Kebangsaan negara Malaysia. Sekali lagi negara Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-68 bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat disantuni”.

Umumnya, hari Kemerdekaan bukan sekadar sambutan hari biasa tetapi ia merupakan lambang, tunjang dan cara kita sebagai rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati, bersatu padu menunjukkan rasa kasih dan cinta pada tanah air walaupun berbeza agama, kaum, adat dan budaya.

Namun, adakah negara kita benar-benar Merdeka, bersatu, berdaulat, berpendirian teguh dan mempunyai jati diri yang unggul tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar, budaya songsang yang boleh mengancam keharmonian rakyat, mencemar imej, keamanan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta.

Semangat patriotik dan rasa cinta pada tanahair perlu disemat di sanubari secara berterusan bukan hanya pada bulan kebangsaan.

Bahkan; setiap rakyat perlu ada rasa tanggungjawab dengan memberi jasa dan khidmat kepada negara.

Pengorbanan dan kesungguhan perlu digalas oleh semua pihak demi memacu pembangunan dalam aspek politik, sosial, ekonomi, teknologi dan sebagainya.

Selaras dengan tema hari kebangsaan “Rakyat disantuni” menunjukkan pembangunan negara tidak hanya tertumpu pada aspek material, fizikal atau ekonomi semata-mata tetapi juga berfokus kepada aspek manusiawi atau ketamadunan yang membentuk jati diri negara, bangsa yang maju dan makmur.

Hormat dan Jaga Sensitiviti agar Keamanan dan Keharmonian Terpelihara

Negara Malaysia merupakan negara yang unik dan kita meraikan kepelbagaian agama, kaum, adat, budaya dan bahasa.

Nilai perpaduan, keadilan, solidariti dan kesejahteraan rakyat bukan retorik semata-mata namun ia perlu diterjemahkan dan dijiwai melalui sikap, pegangan dan kesedaran oleh setiap rakyat Malaysia.

Justeru itu, kita perlu cakna dengan mengamalkan sifat hormat-menghormati dan menjaga maruah, sensitiviti agar tidak bertindak melampaui batas atau menyinggung perasaan sesuatu kaum, agama atau budaya yang diamalkan di Malaysia.

Apa yang lebih mengejutkan, tahun ini pelbagai insiden yang mencetuskan rasa ketegangan, merobek hati dan menganggu emosi masyarakat dengan isu hilangnya bulan sabit di bendera Jalur Gemilang.

Perkara ini sangat menyedihkan dan sepatutnya dielakkan kerana negara Malaysia sudah lama Merdeka.

Usah menormalisasikan tindakan mencemar maruah Jalur Gemilang kerana ia akan memberi impak besar kepada perpaduan, kedaulatan, solidariti dan kemakmuran demi kemaslahatan rakyat.

Persoalannya, adakah wujud kekurangan ilmu pengetahuan mengenai Sejarah, gersangnya pemahaman tentang simbol bendera Jalur Gemilang atau hilangnya jati diri atau pegangan masyarakat kita.

Terdapat juga isu mengibarkan bendera Malaysia dengan posisi terbalik. Perlakuan ini bukan sahaja mencolok mata tetapi juga merupakan tindakan yang tidak betul kerana ia seolah-olah menunjukkan seseorang itu tidak menghormati bendera kebanggaan rakyat Malaysia.

Walau dimana anda berada; kibarkanlah bendera Jalur Gemilang yang baharu, tidak lusuh, bukan pudar warnanya atau koyak dengan penuh bangga dan rasa tanggungjawab.

Usah kita mencemar imej negara dengan bersikap cuai dan endah tak endah kerana ia mencerminkan ketidakprihatinan, pengabaian, mencemarkan maruah dan imej Malaysia di mata rakyat dan dunia.

Ibrahnya, semua pihak harus peka, tidak bobrok dan menghormati bendera Jalur Gemilang, penggunaan simbol dan warnanya.

Selain itu, rukun negara, jata negara, bahasa kebangsaan dan lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku wajar dihormati dan digunakan dengan tatacara yang betul kerana ia merupakan lambang kemegahan, perpaduan, perlambangan identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan nilai murni, bersatu padu dan berdaulat.

Pelihara Jati Diri demi Memelihara Bangsa dan Menjunjung Kedaulatan Negara

Sudah menjadi satu kelaziman kita sebagai rakyat Malaysia yang bukan sahaja menjunjung nilai rukun negara tetapi juga memelihara akar dan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Sifat ini harus diterapkan bukan sahaja generasi dahulu tetapi juga generasi muda masa kini.

Pemeliharaan jati diri, agama, budaya ketimuran harus dipelihara bersama bagi memelihara sifat manusiawi, kemadunan dan peradaban manusia yang unggul.

Kita tidak menolak pembangunan atau kemajuan teknologi tetapi ia harus seimbang dengan sikap, keperibadian dan jati diri individu yang bergelar rakyat Malaysia.

Jangan kita mudah dijajah, hilang arah, terperangkap atau terpengaruh dengan budaya hedonisme atau pengaruh asing yang sememangnya bertentangan dengan nilai-nilai murni atau sivik.

Generasi yang berjaya adalah yang seimbang akhlak, adabnya, keluhuran akal, berperibadi mulia, punya visi positif, jati diri yang kuat dan bebas daripada norma-norma liar atau penjajahan budaya.

Amalan budaya songsang perlu ditangani oleh generasi pelapis bagi membina rakyat yang bersahsiah baik dan berkeperibadian yang terpuji.

Masyarakat perlu sedar bahawa negara mengharapkan rakyatnya dan generasi baharu yang beretika, berintegriti, bersikap rasional, berani menyahut cabaran dan aspirasi negara dengan baik serta berpegang teguh kepada gagasan Malaysia MADANI.

Sejajar dengan ideologi Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan prinsip membina masyarakat yang mampan, sejahtera akal, rohani, jasmani serta sentiasa hormat dan punya ihsan demi membina keyakinan agar rakyat hidup makmur dan bersatu padu.

Ia merupakan panduan serta landasan kepada kelestarian peradaban masyarakat.

Membina Semangat Patriotisme, memelihara Jati Diri dan Identiti Masyarakat

Masyarakat Malaysia perlu bangkit, sedar daripada lena bahawa kemerdekaan itu bukan sahaja diraikan setiap tahun tetapi perlu dipelihara bersama bagi membina negara, rakyat dan bangsa yang bersatu padu, teguh jati diri dan berdaulat.

Saban tahun, kita sering meraikan hari kebangsaan dan melaungkan Merdeka tetapi perlu diingat wahai rakyat Malaysia, cabaran besar ialah mempertahankan kemerdekaan, memelihara keharmonian, kesejahteraan daripada kepincangan akhlak, pencemaran budaya, masalah perpecahan, ancaman dari fahaman subversif atau wujud ketegangan perkauman, penghinaan agama di Malaysia.

Kerajaan, badan swasta, Kementerian Komunikasi, badan Pendidikan perlu berganding bahu bagi mendidik serta memberi kesedaran kepada semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum agar peka kepada tatacara penggunaan bendera Jalur Gemilang, jata negara, lagu Negaraku dan perlambangan rasmi negara dengan betul.

Ini bagi mengelakkan insiden memalukan, mencegah sikap sambil lewa, kurang prihatin tentang tanggungjawab menghormati bendera dan perlambangan negara yang menjadi identiti, jati diri serta kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Pendidikan perlu dipergiatkan diperingkat awal iaitu di bangku sekolah lagi tentang penekanan menjaga sensitiviti bagi mengelakkan tercetusnya isu perkauman yang berpaksi kepada raja, kaum dan agama (3R).

Badan Pendidikan perlu mengambil langkah pro-aktif dengan memberi kesedaran jitu, berterusan bukan bermusim serta menekankan ilmu sivik di kalangan generasi baharu.

Aspek ilmu dan pemahaman yang menyeluruh tentang subjek Sejarah Malaysia perlu ditekankan kepada generasi baharu bagi menyemai sikap patriotisme serta sayangkan negara dan tanahair.

Program bulan kebangsaan perlu dianjurkan di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan menyajikan pelbagai acara seperti pertandingan menulis esei kemerdekaan, sajak yang bertema hari Merdeka, mengadakan pantomen atau teater memperingati jasa dan pengorbanan mencapai kemerdekaan, dan mengadakan lawatan ke Muzium bagi mengenang Sejarah jasa wira negara.

Pengorbanan dan tangisan pahlawan negara harus dihargai, disanjung dan dikenang sentiasa oleh generasi muda agar mereka tidak alpa, lupa kepada tanggungjawab menjaga amanah, warisan perpaduan dan memelihara kemerdekaan.

Sesungguhnya, jangan sekali-kali kita melupai Sejarah kerana Sejarah bukan sahaja mengajar kita agar tidak mengulang kesilapan malah ia merupakan ingatan asal usul kita dan mengingati pengorbanan serta titisan darah demi menggapai kemerdekaan.

Kerajaan, badan bukan kerajaan dan Kementerian Komunikasi seharusnya bergiat usaha mengadakan kempen kesedaran menyambut hari Kemerdekaan dengan melaksanakan program yang bermanfaat.

Antaranya mengadakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau organisasi, pertandingan yang menguji kreativiti dengan mencipta slogan, logo, penulisan lagu, lirik atau puisi bertemakan Patriotik, menganjur pidato, debat, ceramah tatanegara, pameran pahlawan, satria negara yang memperjuangkan kemerdekaan serta menggalakkan filem atau drama pengarahan yang berkonsep Patriotisme dan perpaduan bagi mendidik generasi baharu serta memupuk semangat cintakan negara Malaysia di kalangan masyarakat.

Tuntasnya, harga sebuah kemerdekaan begitu mahal. Rakyat Malaysia perlu waras, cakna, prihatin dan berjiwa patriotik serta sama-sama menyemarakkan semangat kemerdekaan dan cintakan tanahair agar negara Malaysia terpelihara dan kebebasan dapat dirasai mekar berpanjangan.

Mengimbau lembaran Sejarah merupakan wadah kesedaran; betapa pentingnya memupuk keharmonian dan perpaduan rakyat demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara Malaysia.

Generasi muda perlu ingat; tiada Sejarah, tiada masa hadapan untuk ditenun atau dijadikan iktibar sebagai persediaan dan hala tuju membangunkan negara bagi mencapai kecemerlangan dan kegemilangan di dalam pelbagai aspek secara holistik.

Kemerdekaan bukan hanya bersifat mengibarkan bendera Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu Negaraku atau menyatakan ikrar rukun negara semata-mata tetapi ia memperkasakan semangat kekitaan, iltizam, jati diri, maruah, identiti saya “Anak Malaysia” dengan membina peradaban mapan bersama jiwa yang Merdeka.

“Kita semua adalah rakyat Malaysia dan kemerdekaan inilah menyatukan kita, ingatlah bahawa toleransi adalah kekuatan kita sebagai rakyat dan bangsa.” - Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

--BERNAMA

Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)