TINTA MINDA

Bangunkan Aplikasi Digital Capaian Mudah, Selamat Untuk Warga Emas

17/07/2025 04:45 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Ts. Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin

Era teknologi kini, diibarat dunia tanpa sempadan. Pendek kata, persekitaran dan ekosistem dunia kini dikelilingi oleh teknologi. Kehidupan manusia sejagat dilestari melalui penggunaan teknologi dengan pelbagai keperluan dan kemudahan. Penggunaan teknologi yang optimum dapat membantu melaksanakan pelbagai perkara dengan cepat dan pantas, seterusnya memudahkan kerja-kerja seharian manusia. Kini, aktiviti membeli-belah dapat dilaksanakan dengan hanya berada di rumah, tempahan tiket kapal terbang hanya di hujung jari, mahupun untuk tempahan secawan kopi. Hal ini menunjukkan peranan dan kecanggihan teknologi pada masa kini. Pelaksanaan urusan hanya melalui pengaplikasian web atau aplikasi mudah alih.

Penggunaan laman web atau aplikasi web berfungsi sebagai penghubung kepada dunia internet. Laman web mempunyai pelbagai maklumat dan capaian kepada pelbagai web lain. Dengan melayari laman web membolehkan pengguna mendapat dokumen dengan pantas dan cepat. Seiring dengan peredaran zaman, aplikasi mudah alih digunakan secara meluas melalui peranti mudah alih yang terdapat di pasaran pada masa kini. Kedua-dua aplikasi digital ini mempunyai fungsi yang sama bagi menghubungkan dunia maya dan nyata.

Aplikasi Digital Perlu Mesra Pengguna

Umumnya, ciri-ciri yang terdapat pada aplikasi web dan aplikasi mudah alih mempunyai reka bentuk antara muka yang tertentu. Kebiasaannya ia bergantung kepada kegunaan, sama ada sebagai sumber carian maklumat mahupun aktiviti perbankan kewangan. Pada masa ini, penggunaan aplikasi digital adalah secara menyeluruh dan melibatkan pelbagai pihak. Tambahan pula, dengan mempertimbangkan negara ke arah fasa negara menua, golongan warga emas tidak terkecuali dalam penggunaan aplikasi digital ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peratus warga emas bagi suku kedua tahun 2024 adalah 11.6 peratus iaitu 3.9 juta orang daripada jumlah penduduk Malaysia, merujuk kepada komposisi penduduk berumur 60 tahun dan ke atas. Pembangunan aplikasi digital untuk golongan warga emas memerlukan penilaian khusus bagi memastikan aplikasi tersebut dapat diakses dengan sempurna dan selamat. Di samping memberi penekanan terhadap ciri-ciri ‘user friendly’ dengan capaian mudah.

Kesedaran terhadap negara sedang melalui fasa negara menua semakin tinggi. Menjenguk ke beberapa laman web menunjukkan pelbagai inisiatif yang diberikan kepada golongan warga emas. Walau bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan adakah inisiatif dan maklumat yang diberikan dapat disampaikan secara tuntas kepada golongan sasar tersebut.

Hal ini memberikan kesedaran tentang pentingnya pengukuhan dan pemerkasaan literasi terhadap aplikasi digital untuk golongan warga emas. Secara umumnya, ciri-ciri yang terdapat pada aplikasi digital perlu mempertimbangkan kebolehcapaian warga emas. Dengan mengambil kira beberapa elemen berkaitan, seperti perubahan fizikal dan perbezaan kemampuan individu seiring dengan peningkatan usia.

Pelbagai Manfaat Teknologi Moden

Kriteria dalam pembangunan aplikasi digital perlu menitikberatkan elemen antara muka. Antara muka adalah tetingkap interaksi antara manusia dan peranti teknologi. Antara muka penting kerana ia adalah paparan pertama dan seharusnya bercirikan interaktif dan mudah. Bergantung kepada penggunaan, akses antara muka yang baik dapat membantu warga emas untuk melayari aplikasi digital dengan mudah dan selamat. Antara aplikasi yang kerap dikunjungi ialah pplikasi kesihatan, membeli-belah, perbankan, pembelajaran, keagamaan, pengangkutan atau perkhidmatan.

Antara muka yang baik, memudahkan warga emas untuk mendapatkan maklumat atau menyelesaikan sesuatu urusan dengan cepat. Penggunaan beberapa fungsi asas antaranya, saiz tulisan, warna, arahan melalui suara atau khidmat bantuan dalam talian dapat membantu warga emas mengakses laman web dengan lebih berkesan. Selain itu, pemilihan komputer atau peranti pintar juga penting. Aksesori yang terdapat pada peranti pintar perlu mudah digunakan, sistem kawalan yang mesra pengguna, mempunyai aplikasi asas dan lain-lain.

Penyediaan dan kesediaan aplikasi digital perlu disokong dengan pemerkasaan dan pengukuhan elemen literasi di kalangan warga emas. Elemen literasi ini penting bagi memberi pemahaman dalam kalangan warga emas tentang kepentingan penggunaan aplikasi digital. Selain itu, ia dapat memastikan warga emas bersedia, memberikan keyakinan dan memahami tatacara mengakses aplikasi pintar tertentu. Kesedaran berkaitan keselamatan digital juga penting bagi memastikan warga emas dilindungi dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ekosistem ini perlu diberi penerangan kepada golongan warga emas dalam memahami kebaikan dan mengelakkan perkara-perkara yang dapat menimbulkan kesan negatif.

Aplikasi digital juga dapat menjadi medium pembelajaran, sekali gus menyahut seruan kerajaan dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat. Terdapat pelbagai aplikasi yang menyediakan perkhidmatan dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang dapat diperoleh sama ada secara langsung atau tidak langsung. Teknologi yang semakin berkembang ini dapat memberi pelbagai manfaat dalam mengalakkan penuaan aktif, meningkatkan daya ingatan dan menjadikan kehidupan seharian lebih bernilai.

Dalam memastikan kelestarian warga emas mendepani hari-hari mendatang, sokongan dari pelbagai pihak dapat membantu golongan ini menyesuaikan diri dalam dunia teknologi. Dalam erti kata lain, menjadi pembantu atau tempat rujukan sekiranya berkeperluan. Hal ini dapat memastikan golongan warga emas celik teknologi dan tidak terpinggir, di samping melengkapi pengetahuan dengan teknologi terkini serta menyumbang kepada kesejahteraan hidup secara keseluruhannya.

-- BERNAMA

Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Ketua Jabatan, Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)