Oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa
Sambutan Hari Pekerja tahun ini mengangkat tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, satu penghormatan kepada golongan pekerja sebagai tunjang kesejahteraan negara dan pemacu kemajuan peradaban bangsa. Tema ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu seruan untuk seluruh warga kerja, khususnya penjawat awam, agar terus memperkasa diri dalam menghadapi cabaran era baharu yang didorong oleh kemajuan teknologi baharu muncul seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Menjadi Penjawat Awam Kesuma Bangsa
Sebagai tulang belakang sistem pentadbiran negara, penjawat awam memikul amanah besar dalam menjayakan dasar kerajaan serta memastikan perkhidmatan kepada rakyat disampaikan secara cekap dan berkesan. Namun, dalam era digital ini, mereka tidak boleh lagi kekal di zon selesa.
Lanskap kerja kini berubah dengan pantas. Dengan kemunculan AI, pendigitalan dan analitik data, penjawat awam perlu bersedia melakukan anjakan paradigma. Mereka tidak lagi cukup sekadar melaksanakan tugasan rutin, sebaliknya perlu bersikap proaktif, cekap dan sentiasa komited untuk meningkatkan kompetensi melalui pembelajaran berterusan.
Seperti yang dilaporkan dalam Artificial Intelligence in the Public Sector: Summary Note oleh Bank Dunia, AI dalam sektor awam berpotensi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mempercepatkan proses yang lebih bersasar mengikut keperluan rakyat. Teknologi ini bukan pengganti manusia, tetapi alat pemangkin yang memperkasa sistem sedia ada ke arah lebih telus dan responsif.
Pembelajaran Sepanjang Hayat: Tanggungjawab Pekerja Moden
Menjadi pekerja kesuma bangsa menuntut lebih daripada sekadar kelayakan akademik atau pengalaman kerja. Ia menuntut iltizam untuk terus belajar, berubah dan menyesuaikan diri dengan cabaran zaman. Penjawat awam hari ini perlu menguasai kemahiran digital, celik data dan mampu menilai maklumat secara kritis. Penglibatan aktif dalam kursus pemantapan profesional, serta latihan dalam bidang teknologi baharu seperti AI dan sistem pintar perlu dijadikan budaya kerja.
Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, penguasaan teknologi adalah keutamaan memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mencabar penjawat awam agar menjadi antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara, termasuk dari segi keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Perubahan bukan lagi satu pilihan malah ia adalah suatu kewajipan moral. Untuk menjadi warga kerja masa depan yang adaptif, inklusif dan beretika, setiap pekerja awam perlu membina keupayaan diri secara berterusan.
Dunia Pendidikan dan Cabaran Baharu
Dalam ekosistem penjawat awam, para pendidik turut berdepan transformasi besar. Kewujudan aplikasi AI seperti ChatGPT, Copilot dan pelbagai platform pintar telah mengubah cara pelajar belajar dan mengakses maklumat. Namun, ia tidak bermaksud peranan pendidik semakin kurang penting malah semakin kritikal.
Tanggungjawab pendidik kini berubah daripada sekadar menyampaikan kandungan kepada membimbing pelajar membentuk pemikiran kritis dan etika intelektual. Penilaian akademik tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada tugasan bertulis yang boleh dihasilkan oleh teknologi. Sebaliknya, perlu menilai proses pemikiran, kemampuan mempertahankan hujah dan kreativiti dalam menyelesaikan masalah sebenar.
Pendekatan seperti pembentangan, perbahasan, forum dan portfolio lebih mencerminkan keaslian idea serta kebolehan aplikasi ilmu oleh pelajar. Dunia pendidikan harus beralih daripada hanya menguji ‘apa yang diketahui’ kepada menilai ‘bagaimana ilmu itu difikir dan diguna’.
Masa Depan yang Dibentuk Hari Ini
Hari Pekerja 2025, wajar menjadi medan muhasabah nasional. Pekerja bukan hanya enjin ekonomi, tetapi insan berjiwa besar yang menjunjung maruah dan kemajuan negara. Dalam konteks ini, penjawat awam merupakan wajah kerajaan di mata rakyat yang mencerminkan integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan dalam tindakan.
Pekerja Kesuma Bangsa ialah mereka yang bukan sahaja setia dan beramanah, tetapi juga berdaya saing serta sanggup menongkah arus perubahan dengan keyakinan, tanggungjawab dan nilai murni. Untuk kekal relevan, penjawat awam perlu membina semula peranan mereka bukan sahaja sebagai pelaksana dasar, tetapi juga sebagai pemimpin perubahan.
Dengan teknologi sebagai alat dan nilai sebagai panduan, pekerja Malaysia khususnya penjawat awam berpotensi menjadi barisan hadapan kepada Malaysia Madani yang lebih inklusif, progresif dan cemerlang.
-- BERNAMA
Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa Profesor, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).