TINTA MINDA

MENANGANI ISU PERUBAHAN IKLIM MELALUI GAYA HIDUP LESTARI

10/07/2020 09:57 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Suhu bumi meningkat pada kadar berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu dan pemanasan sistem iklim bukan perkara kecil yang boleh diabaikan. Manusia adalah punca gangguan sistem iklim dan paling ketara, sejak pertengahan abad ke-20. Perubahan suhu dunia berpunca daripada pemanasan global yang berterusan dengan purata suhu permukaan bumi meningkat lebih 1 darjah celsius sejak era praindustri, satu penanda aras yang digunakan secara meluas untuk mengukur pemanasan global.

Suhu global meningkat 0.85 darjah Celsius dari 1880 hingga 2012 dan ia diramal meningkat enam darjah Celsius dalam tempoh seabad akan datang. Rentetan itu, aras laut meningkat 0.19 meter dari 1901 hingga 2010 dan dijangka meningkat hingga satu meter pada tahun 2100. Kandungan gas karbon dioksida dalam atmosfera turut meningkat 40 peratus kepada 391 ppm pada 2011 berbanding 320 ppm pada 1960.

Punca perubahan iklim global

Perubahan iklim global adalah fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau membabitkan kumpulan gas (karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida) yang menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Kumpulan gas ini membenarkan bahang matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang bumi ke atmosfera. Peningkatan kepekatan CO2 akan memerangkap haba dalam sistem iklim bumi dan sejak tiga dekad lalu laporan IPCC juga mendapati sistem iklim bumi berada tidak seimbang, iaitu menerima lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan.

Bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1, Panel Perubahan Iklim antara Kerajaan (IPCC) Prof Dr Fredolin Tangang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata perubahan iklim berlaku disebabkan pemanasan sistem iklim global dan ia perkara yang nyata. Menurut beliau, kajian mendapati suhu global meningkat 0.85 darjah Celcius dalam tempoh seabad lalu dan dijangka terus meningkat dengan purata enam darjah Celsius dalam tempoh seabad akan datang. Punca utama perubahan iklim adalah peningkatan gas rumah hijau yang dikaitkan dengan penipisan lapisan ozon. China dan Amerika Syarikat menyumbang kira-kira 40 peratus pelepasan gas rumah hijau global. Perubahan suhu secara dramatik berpunca daripada penggunaan lebih banyak bahan api fosil seperti minyak, gas dan batu arang, menyebabkan peningkatan kepekatan gas rumah hijau. Malahan penebangan hutan secara berleluasa dan tidak terkawal serta perubahan guna tanah yang tidak lestari turut menyumbang kepada isu ini.

Impak perubahan iklim global

Perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran malah menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik. Perubahan iklim merujuk perubahan terhadap ciri-ciri iklim termasuk suhu dunia, kelembapan, jumlah hujan, angin dan peristiwa cuaca ekstrem dalam jangka masa panjang. Kenaikan suhu planet bumi melebihi 1.5°C akan memburukkan risiko bencana alam seperti kemarau, banjir, gelombang haba, kekurangan makanan dan kemiskinan kepada ratusan juta manusia di seluruh dunia, terutamanya di kawasan rendah, delta, pesisir pantai dan pulau-pulau. Kemarau panjang, banjir besar dan kenaikan aras laut yang semakin kerap berlaku rentetan kesan pemanasan global akan turut menjejaskan kawasan penempatan dan pertanian.

Gangguan terhadap aktiviti pertanian akan menjejaskan pengeluaran makanan yang berpotensi menyebabkan berlakunya kekurangan serta krisis makanan yang membawa kepada kebuluran, kekurangan zat dan penyebaran wabak penyakit. Suruhanjaya bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) melaporkan kira-kira 22.5 juta orang dipindahkan akibat iklim atau bencana yang mempunyai kaitan dengan cuaca antara 2008 hingga 2015.

Kajian saintis juga mendapati, Kutub Utara atau artik adalah antara rantau yang paling terkesan akibat perubahan iklim. Direkodkan, Kutub Utara panas dua kali lebih cepat berbanding planet lain sejak lebih seabad lalu dan sejak enam tahun lalu Artik mencatatkan suhu paling panas di rantau itu. Ini boleh menyebabkan suhu air laut juga meningkat dari masa ke semasa. Paling membimbangkan, setiap tahun, ais yang mencair di Greenland sebuah pulau ais terbesar selepas Antartika meningkatkan paras laut dunia sebanyak 0.7 milimeter. Jika semua ais di Greenland cair atau menjadi bongkah ais, lautan dunia akan naik sebanyak 7.4 meter. Ais yang mencair dari kutub Antartika, Artik dan Greenland akan menaikkan paras air laut yang berisiko menenggelamkan sebahagian besar penempatan manusia. Para saintis turut memberi amaran bahawa paras laut dijangka meningkat sebanyak 1.3 meter menjelang 2100 seandainya suhu permukaan bumi mencecah 3.5 darjah celsius.

Satu penyelidikan daripada organisasi iklim sains bukan berasaskan keuntungan di Amerika Syarikat, Climate Central pula mendedahkan bahawa perubahan iklim akan meletakkan 300 juta orang di seluruh dunia dalam bahaya disebabkan limpahan air laut menjelang tahun 2050. Golongan ini merupakan yang pertama akan dibadai ombak dan limpahan air laut akibat realiti perubahan iklim. Selain kenaikan paras air laut, para saintis juga meramalkan perubahan iklim juga akan mengakibatkan kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia seperti kemarau dan banjir. Kemarau misalnya telah dilaporkan mengancam dan menjejaskan 1 bilion penduduk dalam tempoh 10 tahun lalu.

Data Bank Dunia pada tahun 2017 mendedahkan, kemarau memusnahkan hasil keluaran yang boleh memberi makan 81 juta orang setiap hari untuk setahun bermula pada tahun 2001. Paling membimbangkan, antara tahun 2030 dan 2050, perubahan iklim dijangka membunuh 250,000 orang setiap tahun akibat malnutrisi dan pelbagai penyakit selain membahayakan udara bersih, sumber air minuman dan bekalan makanan.

Justeru, isu perubahan iklim ‘menjanjikan’ ancaman besar buat komuniti miskin di negara membangun seperti India, Indonesia dan Filipina. Golongan yang dalam kesempitan hidup itu tidak mampu melindungi diri mereka daripada impaknya. Malahan, menurut IPCC, sebarang kenaikan suhu yang menyumbang kepada pemanasan global akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia. Antara lain meningkatkan risiko beberapa penyakit bawaan vektor, seperti malaria dan demam denggi yang dijangka meningkat dengan pemanasan dari 1.5°C ke 2°C.

Manusia perlu berubah ke arah kehidupan yang lestari

Dalam Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG2030), ‘Tindakan Iklim’ adalah matlamat pembangunan lestari ke-13 yang menyarankan tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya. Laporan Global Risk Report 2020 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) turut meletakkan kegagalan tindakan mitigasi dan adaptasi terhadap perubahan iklim sebagai ancaman paling utama dihadapi dunia masa kini. Malahan laporan terbaru IPCC menegaskan perubahan mendadak dan pada kadar segera perlu dilakukan untuk menangani isu pemanasan global dengan menurunkan kandungan gas rumah hijau dalam atmosfera.

Kesan negatif perubahan iklim tidak dapat dielakkan lagi sehingga beberapa dekad akan datang dan tindakan mitigasi yang diambil hanyalah bertujuan untuk mengurangkan impak fenomena tersebut. Bagaimanapun, sekiranya tiada langsung langkah mitigasi dilaksanakan, sistem semula jadi bumi tidak akan mampu untuk menyesuaikan dengan kesan perubahan iklim. Pada peringkat ini, sebarang tindakan adaptasi yang diambil akan melibatkan kos sosial dan ekonomi yang amat tinggi.

Sehubungan itu, antara langkah terpenting yang paling utama adalah mendesak komuniti global mengamalkan cara hidup yang lestari atau mesra alam. Perubahan teknologi menerusi inovasi baharu yang lebih mesra alam perlu dilaksanakan bagi menggantikan pendekatan teknologi sedia ada untuk mengurangkan pencemaran gas rumah hijau. Untuk mengatasi masalah itu, usaha menangani pemanasan global perlu dilakukan secara lebih agresif. IPCC mencadangkan beberapa langkah antaranya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 daripada tahap yang direkod pada tahun 2010.

Oleh itu, setiap individu antara lain digalakkan berjalan atau berbasikal bagi jarak dekat serta mengurangkan perjalanan udara bagi urusan perniagaan, berkomunikasi melalui sidang video, mengurangkan penggunaan plastik dan menanam lebih banyak pokok.

Di Malaysia, walaupun pengeluaran gas rumah hijau tidak sampai satu peratus, peranan kita dalam menangani pemanasan global tetap penting dan kita berterima kasih dengan komitmen kerajaan mengurangkan pelepasan karbon kepada 40 peratus menjelang tahun 2020. Dasar Perubahan Iklim Negara akan terus dijadikan panduan dalam mengintegrasikan isu perubahan iklim dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan dan proses membuat keputusan; menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara lestari dan pembangunan insan; serta pemuliharaan alam sekitar.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)