TINTA MINDA

Perubahan Iklim Terhadap Malaysia: Ancaman Nyata Yang Tidak Boleh Diabaikan

23/06/2025 02:42 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Pengenalan

Perubahan iklim menjadi isu paling kritikal abad ini, memberi kesan mendalam kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Negara kita yang terletak di zon tropika dengan iklim panas dan lembap sepanjang tahun, semakin merasai kesan fenomena global ini dalam pelbagai aspek – dari cuaca harian hingga kepada kestabilan ekonomi negara.

Malaysia kini mengalami lebih banyak kejadian cuaca ekstrem berbanding dekad-dekad lalu.

Hujan lebat yang luar biasa menyebabkan banjir kilat di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bharu, sementara musim kemarau berpanjangan pula memberi tekanan kepada bekalan air dan sektor pertanian.

Pada tahun 2021, negara dikejutkan dengan banjir besar di Selangor dan Pahang yang mengakibatkan lebih 70,000 orang dipindahkan dan kerugian ekonomi mencecah ratusan juta ringgit.

Statistik Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan peningkatan purata hujan tahunan sejak dua dekad lalu, selari dengan pola perubahan iklim global.

Fenomena seperti ini bukan lagi kejadian luar biasa, tetapi dijangka berlaku lebih kerap jika suhu global terus meningkat.

Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Pertanian dan keterjaminan makanan merupakan elemen penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Di Malaysia, isu ini semakin menjadi perhatian apabila perubahan iklim mula memberi kesan serius terhadap pengeluaran makanan tempatan, rantaian bekalan, dan keupayaan negara untuk menampung keperluan rakyat.

Menurut definisi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sekuriti makanan wujud apabila semua orang, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka.

Namun, perubahan iklim mengganggu keempat-empat komponen utama sekuriti makanan, iaitu:

  1. Ketersediaan makanan
  2. Akses kepada makanan
  3. Penggunaan makanan
  4. Kestabilan bekalan makanan dari masa ke semasa

Perubahan pola cuaca seperti musim kemarau yang lebih panjang, hujan tidak menentu, dan suhu tinggi memberi kesan kepada hasil tanaman dan ternakan.

Ini termasuk penurunan hasil pengeluaran padi akibat kekurangan air atau banjir semasa musim menuai.

Di Kedah, lebih 5,800 hektar sawah padi ditenggelami banjir, menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM32 juta pada tahun 2024 seperti dilaporkan oleh media masa.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terpaksa menyalurkan bantuan tunai dan mengaktifkan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk membantu pesawah yang terjejas ini.

Disamping itu, statistik menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan makanan utama seperti gandum, susu, daging dan makanan ternakan.

Ini menjadikan kita terdedah kepada risiko harga global yang tidak menentu, sekatan eksport oleh negara pengeluar, dan gangguan logistik antarabangsa.

Apabila pengeluaran makanan tempatan menurun dan kebergantungan kepada import meningkat, harga makanan naik. Ini seterusnya memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah.

Sekiranya dibiarkan, keadaan ini boleh mewujudkan ketidaksamarataan ekonomi, kekurangan zat makanan, dan ketidakstabilan sosial.

Misalnya, apabila berlaku banjir besar atau kemarau panjang, harga barang seperti sayur, beras, ayam dan ikan naik mendadak.

Dalam jangka panjang, krisis makanan boleh menjejaskan kesihatan rakyat dan keupayaan negara untuk kekal berdikari dalam aspek makanan.

Peningkatan Paras Laut, Hakisan Pantai, dan Banjir

Perubahan iklim menyebabkan pencairan ais di kutub dan pengembangan haba air laut, seterusnya meningkatkan paras laut secara global.

Menurut laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), paras laut global dijangka meningkat antara 0.6 hingga 1.1 meter menjelang akhir abad ini sekiranya tiada langkah mitigasi diambil.

Oleh itu, Malaysia, dengan lebih 4,800 kilometer garis pantai yang meliputi Semenanjung dan Borneo, kini berhadapan dengan satu ancaman yang semakin nyata dengan hakisan pantai yang semakin serius dan kenaikan paras laut akibat perubahan iklim.

Didapati, banyak kawasan pantai di Kelantan dan Terengganu mengalami hakisan yang teruk, serta malah media menunjukkan banyak kawasan kediaman yang runtuh akibat hakisan ini.

Di Sabah dan Sarawak, kenaikan paras laut menjejaskan habitat paya bakau, kawasan pembiakan hidupan laut, serta komuniti pesisir yang bergantung kepada hasil laut.

Pulau-pulau kecil serta kawasan pantai yang rendah turut berisiko tenggelam dalam dekad-dekad mendatang sekiranya tiada pelan perlindungan jangka panjang.

Ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi juga kepada sektor pelancongan yang menjadi sumber utama pendapatan di kawasan-kawasan tersebut.

Impak Kepada Kesihatan dan Sosial

Perubahan iklim turut memberi kesan langsung kepada kesihatan awam. Suhu yang lebih tinggi boleh menyebabkan strok haba, keletihan melampau, dan memperburuk penyakit kardiovaskular, terutamanya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak.

Misalnya, pada Mei 2024, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sekolah boleh ditutup jika suhu harian melebihi 37°C selama tiga hari berturut-turut.

Selain penutupan sekolah, aktiviti luar bilik darjah juga dihentikan jika suhu melebihi 35°C selama tiga hari berturut-turut. Ini termasuk aktiviti seperti sukan, kawad, dan perkhemahan.

Ini adalah langkah-langkah yang diambil oleh KPM bagi melindungi kesihatan murid ketika negara dilanda gelombang haba, terutamanya di negeri-negeri seperti Kelantan, Perlis, dan Kedah.

Disamping itu, perubahan iklim yang membawa suhu tinggi boleh memanjangkan musim penularan penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan chikungunya.

Sebelum ini, kes denggi di Malaysia lebih lazim pada musim hujan. Namun dengan perubahan iklim, suhu kekal panas sepanjang tahun di banyak kawasan, menyebabkan musim penularan melangkaui musim biasa.

Ini sudah pun diperhatikan di Lembah Klang dan beberapa bandar lain, di mana kes denggi kini direkodkan sepanjang tahun.

Langkah Mitigasi dan Adaptasi

Kerajaan Malaysia telah mengorak langkah melalui pelbagai dasar dan inisiatif seperti Dasar Perubahan Iklim Negara, Pelan Tindakan Teknologi Hijau, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

Malah, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengambil peluang ini untuk menjadikan perubahan iklim sebagai agenda utama serantau, selaras dengan tema “keterangkuman dan kelestarian”.

Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ASEAN Common Carbon Framework) ditengahkan dan inisiatif ini bertujuan menyelaraskan piawaian kredit karbon antara negara ASEAN, dengan fokus awal kepada Thailand, Singapura, dan Indonesia.

Ia menyokong pelaksanaan Pasaran Karbon Kebangsaan Malaysia dan sasaran pengurangan pelepasan GHG sebanyak 45% menjelang 2030.

Peranan Malaysia ini bukan sekadar simbolik, tetapi membuka ruang untuk memperkukuh diplomasi iklim, mempercepatkan inovasi hijau, dan menjadikan ASEAN sebagai blok yang lebih bersedia menghadapi cabaran iklim global.

Tambahan, sektor tenaga perlu dipelbagaikan dengan lebih giat kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biojisim.

Malaysia menerima cahaya matahari sepanjang tahun kerana kedudukannya berhampiran garisan khatulistiwa. Ini menjadikan tenaga solar sangat berpotensi sebagai sumber utama tenaga boleh diperbaharui.

Menggantikan loji janakuasa arang batu dengan solar dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara signifikan, dimana karbon dioksida sebagai salah satu gas rumah kaca utama yang mempercepatkan perubahan iklim.

Dasar semasa Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan tenaga solar sebagai sektor utama yang diberi penekanan.

Penggunaan kenderaan elektrik (EV), hibrid, serta pengangkutan awam juga perlu digalakkan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Kenderaan seperti EV EV tidak menghasilkan pelepasan karbon semasa digunakan, berbeza dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang membakar petrol atau diesel.

Oleh itu, pelbagai inisiatif daripada kerajaan bagi menggalakkan penduduk di negara ini menggunakan kereta EV. Misalnya, pengecualian cukai import dan eksais bagi kenderaan EV yang diimport dan dipasang secara tempatan sehingga 2025.

Tambahan, pengurangkan bilangan kenderaan persendirian dengan peningkatan pengangkutan awam seperti bas, tren, atau MRT, dan ini menyebabkan pengurangan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus menurunkan pelepasan karbon secara kolektif.

Peranan Masyarakat

Setiap individu memainkan peranan penting dalam usaha menangani perubahan iklim kerana tindakan harian kita memberi kesan langsung terhadap alam sekitar.

Dasar-dasar dan inisiatif yang dianjurkan oleh kerajaan perlu diambil dan disokong, supaya kelestarian yang didokong dapat mengurangkan kadar perubahan iklim yang telah berlaku.

Sebagai contoh, mengurangkan penggunaan plastik boleh dilakukan dengan membawa beg beli-belah sendiri semasa ke pasar raya.

Disamping itu, penggunaan straw plastik boleh dielak, sepertimana kempen "Tak Nak Straw" yang telah dijalankan di beberapa negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, dan Perlis.

Menjimatkan tenaga pula boleh dilakukan dengan menggunakan lampu LED atau memasang panel solar di rumah, sebagaimana digalakkan oleh kerajaan melalui program SolaRKu.

Selain itu, menanam pokok melalui program seperti 100 Juta Pokok yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli boleh membantu meningkatkan kawasan hijau di negara ini.

Orang ramai boleh turut serta dalam aktiviti penanaman pokok di kawasan sekolah, taman perumahan, atau semasa program gotong-royong komuniti.

Dalam aspek kitar semula, banyak pusat kitar semula telah disediakan di kawasan perumahan seperti Program KITARecycle yang dijalankan oleh SWCorp, di mana individu boleh mengumpul mata ganjaran daripada bahan kitar semula yang dihantar.

Masa Untuk Bertindak

Perubahan iklim bukan sekadar cabaran saintifik atau politik, tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan kerjasama global dan komitmen tempatan.

Malaysia tidak terkecuali daripada tanggungjawab ini. Kita perlu bertindak dengan lebih berani, pantas dan menyeluruh untuk melindungi bumi yang menjadi rumah kepada kita semua.

Masa untuk bertindak bukan esok, tetapi hari ini. Demi masa depan anak cucu kita, kita mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sekadar pemerhati!

-- BERNAMA

Dr. Zulkarnain Hassan ialah Professor Madya dan Ahli Hidrologi daripada Jabatan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Perlis.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)