SUKAN > BERITA

Terbuka Australia 2026: Zii Jia Tersingkir Awal, Justin Mara Ke Pusingan Kedua

10/06/2026 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Hasrat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan cabaran di Terbuka Australia 2026 tidak kesampaian selepas tewas di pusingan pembukaan di Sydney hari ini.

Zii Jia kalah kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao,  21-13, 24-22 dalam kejohanan Super 500 itu, yang berlangsung di Quaycentre, Olympic Boulevard.

Berbeza pula bagi pemain negara, Justin Hoh yang memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan pemain India, Kiran George, 21-19, 14-21, 21-15, dalam aksi pusingan pertama yang berlarutan selama 62 minit.

Pemain ranking ke-47 dunia itu akan berdepan wakil Ireland, Nhat Nguyen yang menyingkirkan pemain Singapura, Jason Teh, 21-18, 21-11.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara, Wong Ling Ching, terpaksa berhempas-pulas selama 75 minit sebelum menewaskan pemain India, Aakarshi Kashyap, 21-19, 19-21, 22-20 dalam pertemuan julung kali mereka.

Menanti Ling Ching di pusingan kedua esok pilihan kelapan dari Taiwan, Huang Yu-Hsun yang menyingkirkan wakil Amerika Syarikat, Disha Gupta, 21-17, 21-16.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin turut melangkah ke pusingan seterusnya apabila berjaya menundukkan wakil tuan rumah, Andika Ramadianshyah-Nozomi Shimizu, 21-15, 21-16.

Jimmy-Su Yin akan menentang pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat pada pusingan kedua selepas pasangan itu menewaskan satu lagi gandingan tuan rumah, Timotius Elbert-Sylvina Kurniawan, 21-11, 21-17.

 

Keputusan lain 

------------------

(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan)

 

Perseorangan lelaki:

Lee Cheuk Yiu (HKG) mn Eogene Ewe 18-21, 21-10, 21-15

 

Beregu campuran:

Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mn Michael Owen-Gronya Somerville (AUS) 21-17, 21-14

Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan mn Calvin Devereux-Desiree Toepffer (GER) 21-1, 21-3

 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan