SUKAN > BERITA

Sze Fei-Nur Izzuddin Masih "Dahaga" Kejayaan

10/06/2026 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masih dahagakan lebih banyak kejuaraan berprestij di pentas antarabangsa selepas berjaya merangkul gelaran Terbuka Indonesia 2026, Ahad lepas.

Sze Fei berkata kunci utama untuk melangkah lebih jauh adalah dengan tidak meletakkan sasaran yang terlalu spesifik sehingga memberikan tekanan, namun pada masa sama mengekalkan mentaliti untuk sentiasa mahukan lebih banyak kejayaan.

“Saya rasa kami tidak menyasarkan mana-mana kejohanan tertentu tetapi kami tidak boleh hanya berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Sebaliknya, kami perlu ‘dahagakan' untuk meraih lebih banyak lagi,” katanya ketika ditemui selepas acara Smash It With #FeiDin di sini hari ini.

Sze Fei turut menepis tanggapan bahawa mereka kini sudah memiliki segala-galanya sebagai pemain badminton profesional.

“Saya belum ada semua (kejuaraan). Masih banyak lagi kejohanan besar yang kami tidak pernah dapat lagi sebelum ini,” katanya. 

Sze Fei secara terbuka mengakui gelaran pada Kejohanan Dunia dan temasya Sukan Olimpik adalah sasaran utama, yang kini menjadi dambaan mereka sebagai pemain elit negara.

Beralih kepada perancangan akan datang, rakan gandingannya Nur Izzuddin memaklumkan fokus terdekat mereka ketika ini tertumpu kepada persiapan menghadapi Terbuka Jepun yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan