KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berhubung dakwaan tingkah laku beberapa pegawai Thailand semasa final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.
Dalam surat bertarikh 24 Mei, Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh berkata aduan itu berkaitan dengan perlawanan No. 69 antara Malaysia dan Thailand yang diadakan di Stadium Titiwangsa di sini pada Sabtu.
Beliau berkata semasa kekecohan susulan keputusan pengadil dalam perlawanan regu ketiga, tiga pegawai Thailand yang tidak disenaraikan dalam pendaftaran rasmi pasukan dan senarai permulaan perlawanan didakwa telah masuk serta berkumpul di sekitar kawasan bangku simpanan ketika aksi masih berlangsung.
Pegawai yang dinamakan dalam surat berkenaan ialah Presiden Persatuan Takraw Thailand Thana Chaiprasit, Setiausaha Agung Dr Srihasak Arirachakaran serta pegawai dan bekas pengurus pasukan Piroj Archaroongroj.
“Sebagai pemimpin utama sepak takraw di Thailand dan wakil yang memegang jawatan penting dalam pergerakan sukan serta struktur Olimpik, adalah sangat mengecewakan dan membimbangkan apabila pegawai-pegawai terbabit tidak membantu meredakan keadaan atau memujuk pemain Thailand supaya kembali ke gelanggang dan menamatkan perlawanan mengikut peraturan pertandingan.
“Sebaliknya, kehadiran mereka dan penglibatan berterusan dengan pemain ketika perlawanan dihentikan dilihat seolah-olah terus menyumbang kepada gangguan serta ketidakpastian yang menyelubungi saat kritikal pada aksi final itu,” katanya berdasarkan surat berkenaan.
Beliau berkata sebagai pemimpin sukan, khususnya di peringkat antarabangsa dan pergerakan Olimpik, mereka sepatutnya menunjukkan kepimpinan, ketenangan, profesionalisme, semangat kesukanan serta menghormati autoriti pengadil dan pegawai pertandingan.
“Sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan hati terhadap keputusan pengadil, saluran yang sewajarnya mengikut peraturan ISTAF adalah melalui prosedur bantahan rasmi dan bukannya melalui keengganan untuk meneruskan perlawanan,” katanya.
Abidullah berkata insiden itu turut memberi kesan negatif terhadap imej sukan sepak takraw dan menjejaskan profesionalisme acara tersebut, yang disiarkan secara langsung dan ditonton di peringkat antarabangsa menerusi platform penstriman.
Beliau berkata sebagai tuan rumah, Malaysia bersama jawatankuasa penganjur telah melaburkan sumber yang besar, termasuk perancangan operasi, penyelarasan dengan kerajaan, penglibatan penaja, pengaturan penyiaran, persiapan venue serta usaha pengurusan acara peringkat antarabangsa bagi memastikan kejohanan itu dapat dianjurkan dengan jayanya.
“Insiden seperti keengganan untuk meneruskan permainan semasa perlawanan akhir boleh menjejaskan keyakinan umum, persepsi penaja, keyakinan penyiar, rundingan komersial pada masa hadapan serta reputasi keseluruhan sepak takraw di peringkat antarabangsa.
“Berikutan keseriusan perkara ini, saya dengan penuh hormat memohon ISTAF agar meneliti secara rasmi tindakan dan penglibatan pegawai berkenaan serta mempertimbangkan sama ada siasatan lanjut, penjelasan atau tindakan disiplin perlu diambil mengikut rangka kerja disiplin dan tadbir urus ISTAF,” katanya.
Final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di sini pada 23 Mei dicemari kontroversi selepas Thailand menarik diri sebagai membantah keputusan pengadil, dengan Malaysia kemudiannya diisytiharkan menang 2-1.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial