SUKAN > BERITA

K. Rajan Beri Bayangan Terus Bersama NSFC Musim Hadapan

17/05/2026 12:16 PM

SEREMBAN, 17 Mei (Bernama) -- Ketua Jurulatih interim Negeri Sembilan FC (NSFC) K. Rajan memberi bayangan akan kekal bersama pasukan itu bagi menghadapi saingan musim hadapan sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang kelab.

Beliau berkata posisi rasmi dalam struktur kejurulatihan masih belum dimuktamadkan namun masih berada dalam perancangan NSFC untuk musim hadapan, sekali gus membantu pembangunan pasukan.

“Kedudukan saya masih di NSFC. Apa juga keputusan nanti, saya masih dalam perancangan pasukan untuk musim depan. Ya, saya akan terus kekal kerana ini pelan jangka panjang, cuma posisi itu belum tahu,” katanya kepada pemberita selepas aksi terakhir Liga Super menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) di sini malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, NSFC mencatat kemenangan 2-1 sekali gus menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh dengan 29 mata berbanding tangga ke-12 musim lepas, manakala Kelantan TRW di kedudukan ke-12 dengan 15 mata.

Rajan turut memuji prestasi skuadnya pada musim ini dengan pencapaian sekitar 60 hingga 70 peratus hasil komitmen pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan serta sokongan padu penyokong.

Mengenai masa depan pemain, beliau berkata segala keputusan bergantung kepada penilaian kelab selepas laporan daripada barisan kejurulatihan diserahkan kepada pihak pengurusan.

“Sekarang ini kita beri pemain cuti dulu dua ke tiga minggu, selepas itu kita akan mula merancang pasukan untuk musim depan. Gerakan itu sudah bermula sedikit demi sedikit dan saya rasa pasukan akan lebih lengkap menjelang Julai nanti,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Kecergasan Kelantan TRW Kamarul Dinis Kamarudin tetap memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan anak buahnya dan staf hingga tamat saingan Liga Super musim ini meskipun berdepan pelbagai isu dalaman yang dilihat menjejaskan moral pasukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pemain, staf dan jurulatih yang sanggup hadir ke stadium dan menghabiskan liga walaupun dengan pelbagai masalah yang sudah diketahui...kami dalam pasukan bawa nama Kelantan dan kami mengharapkan sesuatu,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa bangga dengan semangat dipamerkan pemainnya yang masih mampu memberikan tentangan walaupun pasukan berdepan kekangan besar sepanjang musim ini.

“Saya pesan kepada pemain, ini peluang untuk tunjuk kemampuan dan pasarkan diri mereka untuk musim depan. Walaupun ramai pemain tempatan dan pemain muda, saya tetap puas hati dengan komitmen mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak pengurusan Kelantan TRW dapat segera menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain dan pegawai pasukan hingga menjejaskan kebajikan mereka sepanjang musim ini.

“Ada pemain yang dikejar bank, kereta mahu ditarik tetapi mereka masih bermain. Pemain import dan pemain tempatan pun ada yang dihalau dari rumah sebab tiada bayaran, kami bukan minta lebih, cuma mahu hak pemain diselesaikan, mereka pun ada keluarga dan tanggungan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan