KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan pembidaan bagi penganjuran Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik 2026 yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 3 hingga 10 Okt 2026 ini.
Kelulusan berkenaan diberikan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pembangunan sukan inklusif serta memperluaskan penglibatan atlet pekak di peringkat antarabangsa.
Presiden MSDeaf Ong Shin Ruen berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KBS atas sokongan dan kelulusan yang diberikan terhadap pembidaan kejohanan tersebut.
Beliau berkata penganjuran kejohanan itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak di rantau Asia Pasifik.
“Kami berterima kasih kepada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang menerima usaha persatuan dan diharap temasya ini akan meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan di peringkat antarabangsa.
“MSDeaf komited untuk memastikan segala persiapan penganjuran Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik 2026 berjalan lancar dan teratur. Kami yakin kejohanan ini bukan sahaja akan memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak, malah mampu memberi impak positif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial