SUKAN > BERITA

Tunku Mahkota Ismail Dinobat Tokoh Kepimpinan Sukan SAM-100PLUS 2025

09/05/2026 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 yang dijadual berlangsung di ibu negara, Rabu depan.

SAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu diberikan atas visi dan kepimpinan luar biasa baginda dalam mentransformasikan landskap sukan Johor ke arah lebih profesional serta bertaraf antarabangsa.

Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya membangunkan kelab itu menjadi antara jenama sukan paling berjaya dan berpengaruh di Malaysia menerusi dominasi berterusan dalam saingan domestik, selain mencipta pencapaian membanggakan di pentas Asia.

Selain kejayaan di atas padang, Tunku Mahkota Ismail memainkan peranan besar dalam memperkukuh penjenamaan JDT sebagai organisasi sukan moden bertaraf dunia melalui pengurusan profesional, strategi pemasaran berkesan, pembangunan infrastruktur moden serta penggunaan teknologi dan sains sukan.

Penubuhan akademi bola sepak moden dan pembangunan fasiliti bertaraf antarabangsa di Johor turut menjadi asas penting dalam usaha melahirkan bakat muda secara sistematik dan kompetitif, selaras aspirasi baginda untuk menjadikan Johor sebagai negeri contoh dalam agenda Negara Sukan menjelang 2030.

Antara usaha lain baginda termasuk pembangunan infrastruktur bertaraf dunia seperti Stadium Sultan Ibrahim (SSI), selain pengilhaman Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC) dan Khabib Gym yang membantu memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab sukan negara.

Tumpuan baginda juga melangkaui arena bola sepak apabila turut memberi perhatian terhadap pembangunan sukan lain termasuk ragbi, badminton dan sukan permotoran.

Dalam bidang permotoran, penubuhan JDT Racing Team dengan penyertaan pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah, mencerminkan kesungguhan baginda memperluas jenama Johor dalam sukan berprestij, di samping membuka ruang pembangunan bakat tempatan.

Naib Presiden SAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pendekatan holistik dan berpandangan jauh Tunku Mahkota Ismail dalam pembangunan sukan bukan sahaja berjaya meningkatkan standard pengurusan sukan di Johor, malah menjadikan negeri itu sebagai contoh terbaik ekosistem sukan moden di Malaysia.

“Penganugerahan Tokoh Kepimpinan Sukan ini adalah penghargaan terhadap dedikasi, kepimpinan dan impak besar baginda dalam memperkasakan pembangunan sukan Johor serta mengangkat imej negeri berkenaan di persada antarabangsa,” katanya.

Pada majlis anugerah itu, selain Anugerah Atlet Muda Terbaik dan Anugerah Persatuan Sukan Dinamik, turut disampaikan ialah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik dan Anugerah Khas.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun lalu, majlis itu turut meraikan wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.

Anugerah berkenaan dibahagikan kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan