PETALING JAYA, 5 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menggesa anak buahnya memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila menentang wanil Vietnam, Nam Dinh FC, esok, sambil menegaskan kemenangan pada aksi pertama separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) amat penting sebelum turun ke perlawanan timbal balik di tempat lawan.
Pengendali dari Korea Selatan berkata mendapatkan keputusan positif di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah amat penting bagi memberikan kelebihan selesa kepada skuad Gergasi Merah menjelang aksi kedua di Vietnam.
“Keputusan adalah perkara paling penting bagi kami. Di tempat sendiri, kami perlu meraih kemenangan sebelum pergi ke perlawanan di tempat lawan.
“Kami mahu memperoleh kelebihan besar untuk perlawanan itu,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium MBPJ di sini, hari ini
Dalam pada itu, mengulas persiapan menjelang perlawanan esok, bekas jurulatih Harimau Malaya itu berkata pasukan telah melakukan persiapan rapi, khususnya dari aspek mental dan psikologi, selain memberi tumpuan kepada proses pemulihan pemain.
Beliau berkata prestasi semasa Selangor yang merekodkan 10 jaringan tanpa bolos mencerminkan identiti pasukan sebagai skuad yang menekankan corak permainan menyerang di samping memiliki benteng pertahanan yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau berharap para pemain dapat memasuki perlawanan esok dengan penuh keyakinan serta berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Sebelum perlawanan ini, saya percaya para pemain sudah bersedia dengan keyakinan yang tinggi dan tahap kecergasan yang baik. Untuk perlawanan ini, saya yakin mereka sudah bersedia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial