Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS, 1 Mei (Bernama) -- Skuad badminton wanita negara memiliki potensi menampilkan persembahan lebih mantap pada edisi akan datang selepas melakar keputusan positif pada saingan Piala Uber 2026 di Forum Horsens, di sini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky berkata beliau amat kagum dengan semangat juang skuad negara yang separuh daripadanya dibarisi pemain muda, layak ke suku akhir saingan berprestij itu buat kali pertama dalam masa 16 tahun dan memberi cabaran walaupun tumpas kepada juara bertahan China, 0-3, semalam.
“Skuad (ini) majoriti pemainnya muda, mereka mampu bermain dengan tanpa rasa bimbang dan tunjuk prestasi positif menentang China (suku akhir semalam).
“K. Letshanaa sebagai pemain perseorangan pertama menentang juara All England Wang Zhi Yi dan beregu Ong Xin Yee-Carmen Ting pula berjaya saingi pasangan nombor 1 dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning, mereka sangat positif,” katanya menerusi satu rakaman video yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Semalam, Malaysia memulakan saingan suku akhir dengan langkah sukar apabila pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa yang berada di kedudukan ke-33 dunia memberi tentangan sengit sebelum tewas 17-21, 18-21 kepada pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi dalam tempoh 47 minit.
Harapan untuk menyamakan kedudukan hampir tercapai menerusi beregu Ong Xin Yee-Carmen Ting yang mempamerkan aksi berani menentang pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tumpas 14-21, 21-16, 13-21 dalam pertarungan 79 minit.
China mengesahkan slot separuh akhir dalam perlawanan ketiga apabila pemain perseorangan kedua mereka Chen Yu Fei yang juga ranking keempat dunia menewaskan Wong Ling Ching 21-10, 21-10 dalam tempoh 36 minit.
Dalam pada itu, Rexy berkata masih terlalu awal untuk memberi bayangan bahawa Xin Yee-Carmen serta satu lagi beregu muda Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mampu mencapai tahap beregu utama negara yang juga beregu nombor dua dunia Pearly Tan-M. Thinaah.
“Masih terlalu awal untuk kata mereka boleh capai ke tahap Pearly-Thinaah kerana apa yang mereka masih perlu buat untuk tahun mendatang adalah menjaga mental dan fikiran mereka,” katanya.
Zi Yu-Noraqilah, beregu ke-143 dunia, turut mencuri tumpuan apabila berjaya mengejutkan pasangan ketujuh dunia dari Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 21-17, 12-21, 21-19, pada aksi terakhir Kumpulan B, Isnin lepas.
Ini merupakan penampilan ke suku akhir keempat Malaysia dalam kejohanan itu, menyamai pencapaian terbaik mereka pada edisi 2004, 2008 dan 2010.
Skuad negara memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan 3-2 ke atas Turkiye sebelum menang ke atas Afrika Selatan 5-0 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Mereka menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan B selepas tewas 1-4 kepada juara enam kali, Jepun.
Piala Uber 2026, yang bermula 24 April lepas berlangsung hingga Ahad ini (3 Mei).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial