SUKAN > BERITA

Letshanaa Kutip Pengalaman Berharga Di Piala Uber

30/04/2026 09:27 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar 

HORSENS (Denmark), 30 April (Bernama) -- Walaupun keputusan perlawanan tidak memihak kepadanya, pemain perseorangan wanita utama negara K. Letshanaa tetap membawa pulang sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar kekalahan iaitu keyakinan.

Letshanaa sebelum ini memberi tentangan sengit kepada juara dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi, sebelum tewas 19-21, 17-21 pada aksi peringkat Kumpulan B, Isnin lalu.

Beliau kemudian sekali lagi mempamerkan aksi bersemangat ketika menentang pemain nombor dua dunia dari China, Wang Zhiyi, namun tewas 17-21, 18-21 pada aksi suku akhir hari ini.

Malaysia terlebih dahulu tunduk 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan B sebelum tersingkir selepas tewas 0-3 kepada China pada peringkat suku akhir kejohanan Piala Uber 2026 di Forum Horsens.

Namun begitu, pemain berusia 22 tahun yang kini berada di ranking ke-33 dunia itu menyifatkan pengalaman beraksi menentang pemain-pemain terbaik dunia sebagai sesuatu yang amat berharga.

“ Dua perlawanan ini banyak yang saya pelajari. Pengalaman yang saya dapat sangat baik dan saya tidak akan lupakan kerana ini kali pertama saya beraksi rapat dengan pemain-pemain terbaik dunia.

“Saya rasa ini adalah titik permulaan untuk saya berkembang pada masa akan datang,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Beliau turut mengakui perlunya peningkatan daripada segi konsistensi, khususnya ketika berdepan pemain elit dunia.

“Saya perlu lebih konsisten apabila bermain dengan pemain terbaik dan mengurangkan kesilapan mudah. Pemain terbaik dunia sangat jarang melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Sementara itu, gandingan beregu wanita muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, yang membuat penampilan sulung turut menampilkan aksi memberangsangkan walaupun tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Pasangan ranking ke-22 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas 14-21, 21-16, 13-21 dalam pertarungan selama 79 minit.

Xin Yee, 19, berkata mereka berpuas hati dengan usaha yang ditampilkan namun mengakui ketidakkonsistenan menjadi faktor kekalahan.

“Kami tidak puas hati kerana tidak dapat menyumbang satu mata untuk Malaysia. Kami sudah cuba sebaik mungkin, memberi tekanan dan tidak memberi laluan mudah kepada mereka,” katanya.

China kemudian mengesahkan kemaraan ke separuh akhir apabila Chen Yu Fei menewaskan Wong Ling Ching 21-10, 21-10 dalam masa 36 minit.

Walaupun tewas, kempen Malaysia tetap boleh dibanggakan apabila berjaya mara ke suku akhir buat kali keempat dalam sejarah, menyamai pencapaian terbaik negara pada edisi 2004, 2008 dan 2010.

Skuad negara sebelum itu memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan 3-2 ke atas Turkiye dan menewaskan Afrika Selatan 5-0 sebelum tumpas 1-4 kepada Jepun untuk muncul naib juara kumpulan.

Kejohanan Piala Uber 2026 yang bermula 24 April itu akan berakhir pada 3 Mei.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan