SUKAN > BERITA

MFL Sasar Sifar Tunggakan Gaji Kelab Menjelang Musim 2027-2028

30/04/2026 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyasarkan isu tunggakan gaji melibatkan kelab Liga Malaysia (Liga-M) dapat dinoktahkan dalam tempoh dua musim akan datang menerusi pelaksanaan Peraturan Kewangan Adil (FFP).

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata FFP yang dilaksanakan sepenuhnya buat pertama kali musim ini menunjukkan perkembangan positif, namun masih memerlukan komitmen berterusan semua kelab bagi memastikan keberkesanannya.

Beliau berkata pelaksanaan FFP kini memberikan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kewangan kelab, dengan pendapatan rata-rata kelab mengatasi perbelanjaan.

“Semua kelab diminta supaya terus komited dengan sasaran dalam tempoh dua musim lagi, memasuki musim ketiga (2027-2028), tiada lagi yang berdepan masalah pembayaran gaji dan kelab mampu mengurangkan liabiliti lain.

“Berdasarkan syarat ditetapkan, semua kelab kini dapat lihat dengan lebih jelas kedudukan kewangan masing-masing. FFP ini dilaksanakan dalam tempoh tiga musim, dan menjelang musim 2027-2028, saya yakin kestabilan kelab dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M di sini, semalam.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata pemantauan pelaksanaan FFP akan terus diperkukuh melalui semakan lebih kerap bagi memastikan pematuhan kelab berada pada tahap optimum.

“Mengikut prosedur, semakan dibuat setiap tiga bulan, namun saya meminta supaya pemantauan dilakukan setiap bulan,” katanya.

Perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M diadakan susulan gesaan beberapa kelab supaya satu platform rasmi diwujudkan bagi membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan serta hala tuju liga yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Antara isu berulang sering dibangkitkan termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain peningkatan kos operasi yang semakin menekan kebanyakan pasukan.

Perbincangan meja bulat itu dikejutkan dengan kehadiran pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail ketika sesi sedang berlangsung.

Baginda turut menyampaikan pandangan serta memberi penegasan berhubung beberapa isu asas yang perlu diberi perhatian serius termasuk aspek pembangunan akar umbi, pengadilan, penajaan dan disiplin kewangan dalam kalangan kelab.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata MFL dan Rakan Kongsi Liga akan meneliti serta mengkaji cadangan dikemukakan Tunku Mahkota Ismail untuk “kembalikan bola sepak kepada rakyat” dalam sesi perbincangan itu.

“Tunku Mahkota Ismail ada beri fail, namun saya telah memaklumkan kepada semua rakan kongsi dan kelab supaya membawa pulang perkara tersebut untuk diteliti terlebih dahulu.

“Mereka diminta mengkaji perkara tersebut, manakala pihak MFL juga akan meneliti sebelum kita duduk semula untuk berbincang dan membuat keputusan. Ataupun kita perlukan (perkenan) Tunku Mahkota Ismail untuk hadir, itu lagi baik kerana idea datang daripada baginda,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan