SUKAN > BERITA

TFC Terikat 2-2 Dengan NSFC, Kehilangan Dua Tonggak Utama Jejas Rentak Permainan

26/04/2026 10:49 AM

KUALA NERUS, 26 April (Bernama) -- Kehilangan dua tonggak utama ternyata menjejaskan rentak permainan Terengganu FC (TFC) ketika seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini, malam tadi.

Pemangku ketua jurulatih TFC Tengku Hazman Raja Hassan berkata penyerang import Gervane Kastaneer dan pemain tengah, Kway Min Oo terpaksa dikeluarkan pada minit-minit akhir babak  pertama disebabkan kecederaan serius.

Beliau berkata ketiadaan dua pemain tersebut telah mengubah corak permainan pada separuh masa kedua, sekali gus membolehkan pihak lawan kembali menyamakan kedudukan 2-2.

"Ketiadaan Kastaneer dan Min Oo beri impak besar kepada rentak permainan pada separuh masa kedua. Situasi berubah apabila pemain gantian dimasukkan. Separuh masa kedua kita nampak rentak permainan terjejas dengan ketara dan jurang antara pemain lebih jelas.

"Ketiadaan Kastaneer menjadi masalah besar kerana selepas itu (separuh masa kedua) kita jadi terlalu 'loose' dan kerap hilang bola. Sebelum itu dia (Kastaneer) yang bantu kawal permainan dan mencipta peluang," katanya selepas perlawanan.

Dua gol pasukan TFC diperoleh melalui Yann Mabella dan Raianderson Da Costa (Careca), manakala kedua-dua jaringan NSFC disumbangkan oleh Joseph Esso.

Sementara itu pengendali skuad Hobin Jang Hobin, K. Rajan memuji semangat juang yang dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berharga.

Walaupun ketinggalan 0-2 pada babak pertama, pemain tidak berputus asa dan memberikan komitmen penuh bagi memastikan NSFC tidak pulang dengan tangan kosong.

"Saya perlu memberi pujian kepada pemain yang telah membuat ‘comeback’ pada separuh masa kedua. Mereka kembali dengan 100 peratus komitmen dan ‘urgency’ untuk menjaringkan gol. 

"Gol pertama menjadi suntikan motivasi untuk pemain kembali bersemangat dan memburu gol seterusnya. Sebelum babak kedua bermula, saya ingatkan pemain supaya lebih berdisplin dan mengikut perancangan yang diatur," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan