SUKAN > BERITA

Nurul Izzah Raih Pengajaran Berharga, Pecah Rekod Kebangsaan

25/04/2026 04:56 PM

NILAI, 25 April (Bernama) -- Pelumba wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan pertemuannya dengan juara dunia Hetty van de Wouw sebagai pengajaran terbesar meskipun terkandas di suku akhir acara pecut individu pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026, hari ini.

Nurul Izzah tewas kepada pelumba Belanda itu selepas mempamerkan kempen memberangsangkan sejak dua pusingan pertama, selain aksi cemerlang dalam pusingan kelayakan di Velodrom Nasional, di sini.

Lebih membanggakan, pelumba berusia 21 tahun itu turut mencipta rekod kebangsaan baharu apabila mencatat masa 10.541 saat (s) dalam pusingan kelayakan untuk menduduki tempat ketujuh terpantas.

Catatan itu sekali gus memadam rekod 10.658s yang dilakarnya pada Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, tahun lepas.

“Alhamdulillah, saya berjaya mencatat rekod kebangsaan baharu dan berada dalam kelompok 10 terbaik dengan kedudukan ketujuh dalam pusingan kelayakan. Itu antara pencapaian terbesar saya.

“Saya cuba berikan yang terbaik hingga ke suku akhir dan berdepan Hetty, juara dunia tahun lepas. Memang itu antara pengajaran terbesar untuk saya - belajar dari segi taktikal dan merasai pengalaman berlumba dengannya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan di sini.

Mengulas lanjut, atlet berasal dari Kedah itu berkata peluang berada di trek yang sama membolehkannya mempelajari pergerakan serta pendekatan lawannya.

“Dia memang sangat laju dan saya dapat rasakan jurang besar dari segi kelajuan antara kami, namun daripada situ, saya tahu apa yang perlu diperbaiki selepas ini, khususnya aspek taktikal, kuasa dan catatan masa, “  katanya yang akan beraksi dalam acara keirin esok.

Pada pusingan 1/16, Nurul Izzah menewaskan Zita Gheysens dari Belgium dalam saringan ketiga sebelum menundukkan wakil Ukraine Alla Biletska dalam saringan ketujuh pada pusingan 1/8.

Sementara itu, rakan senegara Nur Alyssa Mohd Farid mengakhiri saingan individu pecut wanita di pusingan 1/8 selepas tewas kepada Stefany Lorena Cuadrado Florez dari Colombia.

Terdahulu, Nur Alyssa dengan memulakan saingan  langkah kanan apabila menewaskan Nicky Degrendele dari Belgium dalam sarngan kelapan pusingan 1/16.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan